TFC benam UiTM di Gong Badak

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) bangkit daripada episod duka minggu lalu selepas berjaya menumpaskan pasukan di tangga tercorot Liga Super, UiTM FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebenar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Nafuzi Zain kembali menghuni di tangga kedua liga dengan mengutip 24 mata.

Dalam perlawanan pertama pusingan kedua itu, skuad Penyu yang melakukan rombakan kesebelasan utamanya tidak menunggu lama apabila mendahului The Lions Troops 1-0 menerusi sepakan leret David Da Silva pada minit ketujuh.

Jaringan itu berpunca hantaran pemain sayap, Faisal Halim dari tengah padang sebelum pemain kelahiran Brazil itu memperdaya tiga pertahanan pelawat sebelum menewaskan penjaga gol, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

Belum sempat pelawat memperkemaskan benteng pertahanannya, gawang skuad kendalian Frank Bernhardt itu bocor lagi pada minit kesembilan melalui tandukan tajam, Faisal selepas menerima umpanan Mohamad Hakimi Abdullah dari sebelah kanan pintu gol.

Skuad Penyu yang lebih banyak mendominasi permainan hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-21, tetapi mujur sepakan Makan Konate sempat ditepis Azfar.

Pelawat yang menyenaraikan dua pemain import baharu, Ousman Fane dari Perancis dan pemain Timor Leste, Joa Da Silva Freitas memperoleh peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-28 menerusi rembatan padu Da Silva Freitas, namun penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

Berbekalkan sorakan padu 1,200 peminat setia, TFC berjaya menambah jaringan ketiga menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti pemain gantian, Mohammad Rahmat Makasuf pada minit ke-75 untuk menjadikan kedudukan 3-0 hingga tamat perlawanan. -BeritaHarian