Terima Kasih TMJ – Sumareh

KUALA LUMPUR: Ke manakah destinasi pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh selepas ini?

Adakah pemain naturalisasi pertama negara itu bakal mengikut jejak langkah rakan sepasukannya, Matthew Davies yang menyertai skuad JDT itu musim ini?

Persoalan itu ditimbulkan penyokong bola sepak tempatan selepas melihat perbualan antara Sumareh dan pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagram pemain itu.

Rata-rata penyokong menyifatkan gurau senda itu sebagai isyarat dan petanda bahawa Sumareh akan menyertai pasukan itu pada masa akan datang.

Pemain kelahiran Gambia itu berkongsi gambar jentera mewahnya dipercayai Mercedes A-Class Hatchback semalam namun apa yang lebih menarik perhatian apabila Sumareh dan Tunku Ismail saling berbalas komen.

Tunku Ismail sempat meninggalkan komen di hantaran terbabit apabila beliau menulis haha yang disertakan emoji penvmbuk dan emoji hat! berwarna biru dan merah yang sememangnya lazim dengan warna pasukan JDT.

Sumareh membalas komen terbabit sambil tertawa dan mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail.