Terengganu Kempunan

HASRAT skuad Terengganu FC (TFC) untuk menggunakan khidmat pemain kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli menentang pasukan PJ City dalam aksi Liga Super pada 22 Ogos ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak kesampaian apabila pemain itu masih belum tiba.

Walaupun berbaki sepuluh hari lagi sebelum perlawanan bermula, peluang pemain kebangsaan Singapura untuk beraksi dalam perlawanan itu sudah tertutup kerana perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan pihak kerajaan Malaysia sebelum dibenarkan menyertai kem latihan pasukan.

Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, bekas pemain kelab Hougang United FC dalam Liga Singapura itu kini dalam proses melengkapkan dokumentasi dan belum pasti tarikh sebenar akan menyertai kem latihan pasukan.

“Sekarang pemain itu dalam proses untuk melengkapkan dokumentasi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, tapi yang pasti dia (Faris) tidak dapat membantu pasukan bertemu PJ City nanti.

“Bagaimanapun saya berkeyakinan barisan jurulatih yang diketuai Nafuzi Zain sudah mengenal pasti pemain yang mampu mengisi posisi sayap kiri itu,” katanya.

Antara pemain yang dilihat mampu memikul tugas di posisi sayap kiri termasuk bekas pemain Johor Darul Ta`zim II (JDT II), D Saarvindran serta dua pemain muda meningkat naik, Mohammad Rahmat Makasuf dan Muhammad Syafik Ismail.

Mengenai prestasi semasa pasukan, Shahrizal akui persembahan pemain semakin meningkat selepas lebih sebulan menjalani latihan termasuk melalui aksi persahabatan bertemu Terengganu FC II, Kelantan United dan Kelantan.

“Prestasi pasukan semakin meningkat seperti mana yang kita jangkakan dan saksikan dalam perlawanan persahabatan termasuk menewaskan Kelantan 2-0 malam semalam, mereka bermain dengan baik dan aksi itu sebagai medan untuk menguji keserasian pemain.

“Namun begitu, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki lagi bagi memantapkan jentera pasukan sebelum menentang PJ City,” katanya yang mengharapkan pemain lebih fokus lagi ketika sesi latihan.