Terengganu FC (TFC) Jual

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) memperkenalkan ‘baju raya’ buat penyokong apabila melancarkan jersi edisi ‘black out’ yang akan dijual bermula esok.

Dengan tema ‘Onyx is the new black’, jersi terbabit pasti menjadi rebutan memandangkan pasukan terbabit hanya menghasilkan 1,000 helai untuk dijual kepada penyokong setia skuad Penyu.

Menerusi kenyataan di laman rasminya, jersi khas keluaran penaja TFC, Al Ikhsan Sports dilihat memiliki nilai astetik dan komersial yang tersendiri menerusi penggunaan warna hitam bagi keseluruhan jersi termasuk logo pasukan dan logo penaja.

“Ia bertepatan dengan warna rasmi pasukan TFC yang menggunakan warna hitam sebagai warna teras pasukan ini. Al-Ikhsan juga menampilkan kelainan dengan menggunakan warna ‘Onyx’ pada jersi ini.

“Jersi ini menggunakan sistem ‘smartDRY’ yang mempercepat tempoh jersi ini untuk kering. Jersi juga akan datang dalam kotak khas yang menempatkan jersi ini dengan harga RM149 bagi semua saiz.

“Jersi ini akan mula dijual pada hari esok (16 Mei) di outlet Al-Ikhsan dan Football Republic di Terengganu dan juga TFC Merchandise Store. Selain itu, ia boleh didapati secara dalam talian diĀ www.al-ikhsan.com,” kata kenyataan itu.

Selain TFC, Selangor juga mengeluarkan jersi edisi khas berwarna hitam yang mula dikeluarkan kepada penyokong mereka pada awal musim ini.