Terengganu FC Buat Kejutan

Pasukan berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC bakal menampilkan sedikit kejutan terhadap warna jersi ‘away’ dan ‘3rd kit’ untuk mengharungi saingan Liga Super 2020.

Difahamkan, jersi ‘away’ pasukan yang dibimbing oleh Nafuzi Zain itu akan menampilkan warna yang berbeza berbanding musim lepas di mana ia tampil dengan tema serba hitam.

Begitu juga dengan warna bagi jersi ketiga atau sering dikenali sebagai ‘alternate kit’ yang akan tampil dengan warna selain kuning/emas dan ungu sebagaimana tahun 2019 lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim memberi jaminan bahawa jersi ‘home’ akan kekal dengan warna tradisi pasukan iaitu hitam dan putih. 

“Jersi TFC kita kekalkan tema ‘Black and White’, cuma sedikit kelainan bagi jersi tempat lawan dan ketiga. Apa pun, ciri-ciri Terengganu kita kekalkan pada jersi kita,” kata Hishamuddin seperti dipetik daripada laman TeganuKita.

Kerjasama Terengganu FC dan syarikat pengedar barangan sukan tempatan, Al-Ikhsan Sports memasuki tahun kedua. Dan rekaan jersi pada tahun ini dibuat dan disediakan oleh syarikat subsidiarinya, AL sebagaimana tahun lalu.

Mengikut makluman daripada laman sosial Terengganu FC, mereka akan memperkenalkan jersi baharu itu pada hari khamis ini bertempat di Dataran Batu Burok pada jam 5 petang.

Jersi terbaharu itu akan dilancarkan secara rasmi oleh Presiden PBSNT, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.