Kembali Semula Ke Malaysia

Bekas striker skuad B-19 tahun negara, Zafuan Azeman merupakan salah satu pemain Malaysia yang beraksi dalam saingan Thai League musim ini dimana beliau menyarung jersi Angthong FC di Thai League 3.

Akan tetapi, disebabkan pandemik Coronavirus (COVID-19), kontrak Zafuan bersama Angthong ditamatkan dan beliau kini telah kembali semula ke Malaysia.

Baru-baru ini, dalam satu temu bual ekslusif bersama Vocket FC, Zafuan mempunyai nasihat yang mahu beliau berikan kepada pemain lain sekiranya mereka mahu beraksi di liga terbaik Asia Tenggara itu.

“Mereka perlu keluar daripada comfort zone dan mempunyai keinginan untuk beraksi di luar negara. Jika ada pemain negara yang mahu beraksi di Thailand, mereka perlu bersedia untuk menerima gaji yang lebih kecil berbanding apa yang diterima ketika beraksi di Liga M.

“Tidak dinafikan sesetengah pemain menerima gaji yang besar di sini. Akan tetapi semua berbeza apabila beraksi di Thailand. Ini kerana pemain yang datang dari negara yang menduduki ranking FIFA di bawah Thailand, pemain itu akan dibayar dengan gaji yang rendah.

“Selain itu, mereka juga perlu bersedia untuk menerima perubahan budaya serta tahap profesionalisma yang tinggi kerana di Thailand, tahap profesionalisma adalah lebih tinggi berbanding Malaysia,” kata Zafuan.

Ketika ditanya mengenai proses menyesuaikan diri ketika berada di luar negara, Zafuan menegaskan itu semua berg@ntung kepada usaha pemain itu tentang bagaimana untuk menyesuaikan diri berada di persekitaran yang asing.

“Penyesuaian sebenarnya bergantung kepada diri sendiri. Di Thailand banyak makanan halal yang boleh didapati. Ketika berada di sana, saya banyak memasak makanan sendiri. Seperti contoh saya akan memasak spaghetti dan mencampurkannya dengan sos tomato buatan sendiri.

“Apa yang penting ialah kita memakan makanan sihat seperti sayur-sayuran bagi memastikan kcergasan kita berada di tahap terbaik,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Zafuan Azeman turut berkongsi fasiliti seperti contoh padang yang dimiliki beberapa kelab Thai League 3 yang menurut beliau jauh lebih baik berbanding padang stadium yang ada di Malaysia.

“Padang yang dimiliki oleh sesetengah kelab Thai League 3 adalah jauh lebih baik berbanding padang yang ada di Malaysia. Ketika pasukan saya bertandang ke Chachoengsao Hi-Tek FC, padang yang dimiliki mereka amat berkualiti. Mereka lebih mementingkan kualiti padang berbanding stadium,” ujar Zafuan.