Teka-teki pengendali pasukan Bawah 19 tahun (B-19) akhirnya terjawab

KUALA LUMPUR: Teka-teki siapa bakal membimbing skuad bola sepak negara ke Sukan SEA Hanoi 2021 akhirnya terjawab apabila pengendali pasukan Bawah 19 tahun (B-19), Brad Maloney akan menggalas tanggungjawab itu.

Kontrak jurulatih dari Australia itu yang sepatutnya tamat Mac ini disambung sehingga akhir Disember, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Rama­lingam.

“Kontrak Maloney telah dilanjutkan hingga akhir tahun, jadi dia akan membawa pasukan ke Sukan SEA, November ini,” katanya ringkas.

Maloney berjaya membawa skuad remaja negara layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan selepas menduduki tangga teratas Kumpulan G bagi peringkat kelayakan dengan menewaskan tuan rumah Kemboja, diikuti Thailand, Brunei dan Kepulauan Mariana Utara pada 2019.

Jurulatih berusia 48 tahun itu turut membantu skuad tersebut meraih gelaran naib juara Kejuaraan AFF B-18 pada tahun sama namun hasrat untuk melihat pasukan yang diketuai Luqman Hakim Shamsudin ke Piala Du­nia B-20 tidak kesampaian apabila kejohanan dibatalkan badan bola sepak dunia, FIFA.

Selain itu, Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan, Mac ini juga dibatalkan akibat Covid-19.

Malaysia B-19 kini skuad ke­dua terbaik di Asia Tenggara, selain bakal membawa cabaran dalam kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Sebelum ini, Ketua Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN Yusri Che Lah atau S. Balachandran disebut-sebut akan membim­bing pasukan B-19 tetapi de­ngan pelantikan Maloney, Yusri berpotensi menjadi pembantu jurulatih ke Sukan SEA.