Tchetche Kipre semakin dilupakan

Ketiadaan peny3rang Ivory Coast, Tchetche Kipre semakin dilupakan dan kehadiran peny3rang baharu, Dominique Da Sylva mula mendapat tempat di hati para penyokong Terengganu Football Club (TFC). 

Ketika perlawanan persahabatan di antara TFC dan Kelantan United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam, ramai kalangan penyokong mula meyakini kebolehan penyerang berasal dari Mauritius itu.

Malah Da Sylva turut menjaringkan satu gol pada separuh masa kedua hasil umpanan cantik daripada pemain tengah, Sanjar Shaakhmedov sekaligus membantu TFC mencatatkan kemenangan 2-1.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain turut memuji peningkatan yang dipamerkan oleh Da Sylva serta pemain-pemain lain namun menuntut peningkatan yang lebih baik terutamanya dalam aspek keserasian dan kesefahaman pasukan.

“Jika dilihat tahap kecergasan dan rentak permainannya semakin meningkat meskipun masih dalam proses menyesuaikan diri.

“Saya optimis bukan saja Da Sylva tetapi pemain-pemain yang saya ambil mampu memberikan sesuatu,” katanya selepas perlawanan seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Perlawanan yang turut dihadiri sekitar 8000 penonton itu melihatkan TFC tidak menurunkan kesebelasan utamanya. Kelibat kapten pasukan, Lee Tuck serta pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli turut tidak kelihatan.

Nafuzi menjelaskan dua pemain tersebut baru sahaja menjalani latihan bersama pasukan dan mereka akan diturunkan dalam beberapa perlawanan persahabatan yang akan datang.

“Majoriti pemain utama saya baru sahaja tiba, antaranya (Sanjar) Shaakhmedov, Faris (Ramli) dan (Lee) Tuck manakala Faiz (Nasir) dan Sharin (Sapien) pula ced3ra.

“Semua pemain perlu bekerja lebih keras sebelum sepak mula Liga Super dan selepas ini, kami ada beberapa perlawanan ujian lagi,” ujarnya.

Untuk perlawanan persahabatan seterusnya, TFC akan menentang juara Liga Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng FC.