Tchetche Kipre Bakal dinaturalisasikan ?

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui pihaknya menghadapi kesukaran untuk mencari pemain import yang berpotensi untuk dinaturalisasikan kerana kebanyakannya tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh FIFA.

Katanya, kriteria asas untuk seseorang pemain naturalisasi adalah beraksi di sesebuah negara selama lima tahun berturut-turut, dan ketika ini hanya Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula sahaja yang layak.

“Sebenarnya kebanyakan pemain import di Malaysia ini tidak menepati kriteria bermain secara lima tahun berturut-turut di negara ini untuk membolehkan bermain bersama Harimau Malaya,” kata Stuart kepada Sukan Sinar.

“Kalau ada pun pemain import ini yang dah main tiga tahun di sini tetapi tahun keempat pergi main di tempat lain, selepas itu datang balik bermain kat sini. FIFA tak benarkan macam itu, sebaliknya dia perlu bermain lima tahun terus di sini.

“Ada pemain import yang main terus lima tahun di sini tetapi sebelum itu, dia sudah mewakili negaranya dan secara automatik dia tidak boleh bermain untuk Malaysia.”

Sebab itu, Malaysia dijangka tidak akan mempunyai sebarang pemain naturalisasi baharu dalam tempoh dua tahun akan datang, dan jika ada pun, hanya Kipre Tchetche yang layak setakat ini.

“Memang sukar untuk cari pemain yang boleh dinaturalisasikan dalam masa terdekat. Ramai penyokong tanya kenapa tak naturalisasikan pemain pemain tertentu, sebenarnya mereka tidak tahu syarat FIFA ini.

Mungkin pada 2021 atau 2022, peny3rang Kedah, Kipre Tchetche boleh dinaturalisasikan kerana tahun ini dia sudah empat tahun bermain di sini. Tahun 2021 akan genap lima tahun tetapi segala-galanya belum pasti.”

Apa yang disuarakan oleh Stuart adalah selari dengan pelan jangka pendek dan panjang FAM yang menumpukan kepada agenda pengambilan pemain naturalisasi.

Pelan jangka pendek melibatkan kemasukan pemain kacukan seperti Brendan Gan, Matthew Davies dan La’vere Corbin Ong manakala pemain import adalah seperti Mohamadou Sumareh.

Pelan jangka sederhana melibatkan pemain berusia 18 tahun ke atas yang menetap di Malaysia selama lima tahun.

Pelan jangka panjang pula melibatkan pemain di bawah usia 18 tahun seperti pemain di Akademi Mokhtar Dahari.

Kehadiran pemain naturalisasi sememangnya banyak membantu Malaysia menaikkan ranking FIFA sehingga kedudukan 154 dunia dan diharapkan dapat naik sekurang-kurangnya tangga ke-130 pada tahun ini.