Tawaran Itu Jauh Lebih Lumayan

Luqman Hakim Shamsudin bakal menerima tawaran gaji tinggi apabila dia menyertai KV Kortrijk tidak lama lagi.

Ejen bolasepak negara, Syed Qamarul Firdaus Samat berkata tawaran permulaan bagi kontrak profesional di Eropah biasanya mencecah sehingga 3,000 euro.

Tawaran itu dilihat jauh lebih lumayan untuk seorang pemain berusia 18 tahun seperti Luqman.

“Nazmi dulu gajinya tak sampai 2,000 euro dan sebab itu dia tak boleh nak kekal lama dengan gaji sekecil itu. Malah, rumah kena bayar sendiri. Akmal pula bukan main kelab besar sekadar pasukan divisyen tiga Perancis, begitu juga dengan Rudie Ramli,” katanya kepada Arena Metro.

“Tapi Luqman bagi saya akan terima tawaran agak tinggi sebagai seorang pemain muda. Gaji dan ditambah dengan rumah percuma, saya kira ia tawaran amat baik untuknya di sana.

“Kena ingat, kelab yang Luqman sertai ini bukan main divisyen bawah, tetapi liga utama dan banyak mata akan melihat kemampuan Luqman dan dia berpeluang beraksi menentang kelab seperti SC Anderlecht, Club Brugge KV, Royal Antwerp FC dan lain-lain.”

Luqman sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran melakukan penerbangan antarabangsa untuk ke Belgium, selepas tiga bulan terkandas di Malaysia akibat wabak COVID-19.