Taring JDT makin t@jam

JOHOR BAHRU: Siri jelajah pramusim Johor Darul Ta’zim (JDT) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi impak positif buat juara Liga Super enam musim berturut-turut itu apabila mempamerkan aksi konsisten dalam tiga aksi persahabatan.

Terbaharu, skuad bimbingan Benjamin Mora melakar kemenangan kedua selepas menewaskan kelab dari Liga Slovakia, MSK Zilina 2-1 pada aksi persahabatan di Stadium Seven, Dubai, semalam.

Dua gol dijaringkan Gonzalo Cabrera pada minit kesembilan dan ke-19 manakala Vahan Bichakhchyan merapatkan jurang gol namun kedudukan 2-1 memihak skuad Harimau Selatan kekal sehingga tamat perlawanan.

Terdahulu, JDT melakar kejutan apabila menewaskan skuad kebangsaan Turkmenistan 2-1 dan sebelum itu menewaskan kelab Dibba Al-Fujairah 1-0.

Kemenangan dalam tiga perlawanan itu bagai memberi gambaran betapa skuad Harimau Selatan tampak bersedia mengharungi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Liga Malaysia (Liga M) yang menyingkap tirai bulan depan.

Apa yang menarik, skuad Harimau Selatan tampak serba lengkap di setiap posisi tatkala kehadiran Liridon Krasniqi dan kelibat Natxo Insa yang pulih sepenuhnya daripada kecederaan musim lalu  menguatkan lagi barisan tengah.

Di posisi serangan, Diogo Luis Santo sudah mula membentuk keserasian berbanding musim lalu apabila mempamerkan aksi terbaik sepanjang tiga perlawanan persahabatan dan kelibat Safawi Rasid yang disenarai dalam laman sosial berkaitan bola sepak, tekkers antara `future wonderkid’ pasti melonjak semangat pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.

JDT akan menamatkan siri jelajah pramusim menentang Emirates FC di Stadium Emirates Club, esok sebelum pulang ke Johor Bahru bagi menyambung persiapan untuk saingan ACL berdepan  Vissel Kobe dari Jepun pada 12 Februari ini di Stadium Misaki Park, Kobe.