Tarikh Saingan Piala Malaysia 2020

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan rasmi hari ini mengesahkan terdapat perubahan tarikh sepak mula bagi pertandingan TM Piala Malaysia 2020 peringkat pusingan pertama yang membabitkan 16 pasukan.

Perubahan itu berlaku disebabkan oleh pindaan jadual perlawanan terakhir CIMB Liga Super 2020 berdasarkan faktor perebutan tempat kedua dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian TM Piala Malaysia.

Susulan pindaan jadual itu menyaksikan undian Piala Malaysia 2020 yang sepatutnya diadakan pada 12 Oktober 2020 telah ditunda pada 19 Oktober 2020. Perlawanan pertama Piala Malaysia akan bermula pada 25 dan 26 Oktober 2020 berbanding jadual asal pada 16-18 Oktober 2020.

Penangguhan itu juga dibuat selepas MFL amat prihatin dengan situasi semasa pandemik COVID-19 di negara yang agak membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan kes.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa COVID-19 yang sedang meningkat dan MFL berprihatin kepada permasalahan yang berlaku,” katanya.

Format pertandingan TM Piala Malaysia 2020 dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan 5 pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Feeder Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Memandangkan Malaysia diberikan dua slot automatik ke peringkat kumpulan AFC Cup musim depan, maka satu lagi slot akan diberikan kepada juara Piala Malaysia 2020.

Bagaimanapun, sekiranya pasukan JDT selaku juara Liga Super 2020 muncul sebagai juara TM Piala Malaysia 2020, slot itu tidak akan diberikan kepada pasukan naib juara.

Sebaliknya, slot AFC Cup 2021 tersebut akan diberikan kepada pasukan tempat ketiga CIMB Liga Super 2020.