Tan Cheng Hoe tak terkejut

KUALA LUMPUR: Pencapaian hebat peny3rang kebangsaan, Safawi Rasid yang berjaya menarik minat kelab dari Portugal, Portimonense SC sama sekali tidak mengejutkan jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Pengendali berkenaan percaya betapa Safawi sememangnya ditakdirkan untuk beraksi di saingan lebih tinggi dan kini peluangnya sudah tiba untuk melebarkan sayap dan beraksi di salah satu liga terbaik di Eropah.

Dia turut yakin Safawi ada pakej lengkap yang diperlukan untuk menggegar Primeira Liga, apatah lagi selepas kematangan yang ditunjukkan pemain itu dari tahun ke tahun.

“Saya percaya pada kemampuannya kerana dari segi teknikal, fizikal, kemahiran dan kepantasan, saya rasa Safawi mempunyai ciri terbabit. Pasukan itu pasti memantau prestasi Safawi ketika beraksi bersama skuad kebangsaan dan JDT.

“Prestasinya juga dibuktikan pada saingan Liga Juara Juara Asia. Jaringan yang dilakukan boleh dikatakan bertaraf dunia jadi mungkin pasukan itu melihat kemampuan Safawi sebagai penjaring gol.

“Dia ada kebijaksanaan sebagai seorang pemain. Saya berpendapat inilah masa yang terbaik untuk Safawi berhijrah dan bermain di liga yang lebih tinggi di Eropah,” katanya.

Terdahulu, ‘resume’ Safawi jelas mengagumkan apabila Portimonense SC sekadar memerlukan enam bulan sebelum tertarik dengan kemampuan pemain kelahiran Dungun itu.

Perkara itu didedahkan media tempatan, O Jogo yang melaporkan kelab berpangkalan di Algarve itu mengikuti rapat perkembangan pemain berusia 23 tahun itu dan bersetuju menawarkan kontrak selama semusim tanpa mendedahkan nilai perpindahannya.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest sebelum itu mengesahkan skuad Harimau Selatan menerima tawaran daripada Portimonense SC untuk Safawi dan bersedia untuk melepaskan pemain itu bagi meneruskan kariernya di Eropah.

Malah, perpindahan itu mendapat restu pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan melepaskan ayam tambatannya itu selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini berakhir.