Tan Cheng Hoe diberi tempoh hingga bulan depan

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe diberi tempoh hingga bulan depan untuk mengemukakan cadangan baru persiapan pasukan selepas tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini ditunda oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) ke tahun depan.

Pengurus kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, berita mengenai penangguhan itu sememangnya dijangka selepas mengambil kira situasi semasa ekoran pandemik Covid-19 yang masih tidak menunjukkan pengurangan.

Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan Fifa itu dari sudut positif dan akan menggunakan sebaik-baiknya tempoh penundaan ini untuk memperkuatkan cabaran skuad negara apabila bersambungnya kempen kelayakan itu nanti.

“Saya lihat ia sebagai satu petanda yang baik buat pasukan negara memperkemaskan lagi persiapan kita kerana tiga baki perlawanan selepas ini adalah sukar.

“Jurulatih (Cheng Hoe) akan kembali dengan perancangan baharu dan kita mahu satu perancangan yang baik boleh dirangka untuk memantapkan pasukan.

“Walaupun tunda tetapi saya yakin dengan kemampuan jurulatih untuk menyusun dan merangka pelan yang sesuai apabila kempen bermula tahun depan,” katanya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini, Fifa terpaksa menunda aksi kelayakan Piala Dunia 2022 ke tahun depan susulan penularan Covid-19.

Malah, kebanyakan negara bertanding juga masih menutup pintu sempadan buat perjalanan masuk bagi mengekang pandemik itu.

Sementara itu, Cheng Hoe menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka dan mengakui akan merancang strategi terbaik bagi menghadapi saingan tahun depan.

“Ia, saya akan lakukan perancangan baharu buat pasukan selepas ini. Sedih memang sedikit sedih kerana tak dapat jalankan tugas di atas padang tetapi kita kena terima kerana ia adalah soal keselamatan dan kesihatan pemain.

“Sudah tentu tahun depan jadual pasukan akan menjadi padat dan saya perlu susunnya dengan sebaiknya agar pemain dapat mengikuti latihan dan aksi antarabangsa selepas kali terakhir bersama November tahun lalu,” kata Cheng Hoe.

Dalam pusingan kelayakan itu, Malaysia berada dalam Kumpulan G dan kini berada di tangga kedua di belakang Vietnam manakala Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia di kedudukan ketiga hingga kelima.

Ikut jadual, skuad negara sepatutnya terbang ke Dubai pada 8 Oktober ini untuk bertemu UAE sebelum melayan kunjungan Vietnam di Bukit Jalil lima hari kemudian.Selepas itu, anak didik Cheng Hoe akan ke Bangkok untuk menentang Thailand pada 17 November.