Tan Cheng Hoe akui skuad Harimau Malaya terjejas?

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui pembatalan kem latihan pusat yang dijadualkan bermula Sabtu ini menjejaskan perancangan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini.

Bekas pengendali Kedah itu bagaimanapun menegaskan pihaknya perlu patuh dengan arahan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak terjamin susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu.

Katanya, pembatalan kem latihan itu juga menyebabkan barisan kejurulatihan kesuntukan masa untuk menilai pemain bagi aksi berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada 25 dan 31 Mac ini.

“Memang menjejaskan persiapan kita untuk tahun 2021 ini. Orang kata kita sudah terkebelakang selepas setahun lebih tidak berlatih. Harap pada Mac nanti kita dapat teruskan latihan.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Mahu atau tidak kita terpaksa ikut arahan. Kita juga kena sentiasa positif dan saya sebagai jurulatih berharap pemain mendapat perkembangan yang baik apabila berlatih bersama kelab masing-masing,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin, FAM memutuskan untuk membatalkan kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang sepatutnya bermula Sabtu ini hingga 26 Januari susulan pelaksanaan PKP selama dua minggu berkuatkuasa semalam.

Selain itu, Cheng Hoe menjelaskan Harimau Malaya tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya kempen kelayakan itu terpaksa diadakan secara karnival di lokasi tertentu pada Jun depan.

Ia selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mungkin terpaksa mengadakan saingan itu secara karnival jika perlawanan tidak dapat diteruskan mengikut jadual pada Mac nanti.

“Sejak COVID-19 ini, saya sudah bersedia setiap masa dan saya sentiasa berhubung dengan pemain. Tiada masalah, kalau Mac pun kita kena bersedia, kalau Jun pun kita kena bersedia kerana kita tahu AFC juga kesuntukan masa.

“Paling penting setiap pemain perlu bersedia mental dan fizikal kerana harapan penyokong cukup tinggi untuk lihat kita berada pada landasan yang tepat.

“Kita juga tak mahu dihukum oleh AFC atau FIFA jika tak dapat sertai kejohanan itu dan kita harap situasi COVID-19 akan reda,” kata Cheng Hoe.