“Takkan hanya kerana skuad Harimau Malaya gagal ke final AFF 2020 kita desak beliau letak jawatan”

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin masih dianggap relevan untuk terus memimpin badan induk berkenaan walaupun terdapat desakan daripada peminat supaya beliau melepaskan jawatan di kerusi nombor satu itu.

Desakan itu muncul selepas kegagalan skuad kebangsaan mencapai sasaran ke final Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu yang turut menyaksikan Tan Cheng Hoe membuat keputusan drastik meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Namun, Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bersuara bagi mewakili ahli gabungan FAM yang lain menganggap kegagalan skuad kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 tidak wajar dijadikan asbab untuk mendesak Hamidin meletak jawatan.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta semua pihak meneliti serta menilai semula apa yang sudah dilakukan Hamidin selepas mula dipilih sebagai presiden FAM pada 14 Julai 2018.

“Kredibiliti Hamidin sebenarnya tidak perlu dipertikai lagi kerana di peringkat antarabangsa, beliau mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai Naib Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada Mac 2019, sebelum melepaskan jawatan itu kerana mahu memberi fokus selepas dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bagi penggal 2019-2023, sebulan kemudian.

“Malah ketika Peta Hala Tuju FAM F:30 dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018, kita dapat lihat yang Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut sama hadir, sekali gus menandakan hubungan antarabangsa dimiliki Hamidin cukup baik dan ia diperlukan dalam usaha kita untuk membangunkan serta memajukan bola sepak Malaysia.

“Takkan hanya kerana skuad Harimau Malaya gagal di Piala Suzuki AFF 2020, kita semua mahu mendesak supaya beliau letak jawatan? Sedangkan baru saja pada Oktober lalu, skuad B-22 kebangsaan kendalian Brad Maloney berjaya layak selaku 16 pasukan terbaik ke Piala Asia B-23 2022. Adakah ketika itu FAM dipimpin oleh presiden lain?

“Begitu juga ketika skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 dan pada prestasi terbaik meraih kemenangan ke atas Thailand dan Indonesia pada November 2019 dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, siapa Presiden FAM ketika itu? Masih Hamidin juga.

“Sudah tentu Hamidin memiliki kredibiliti yang diperlukan sebagai seorang presiden dan tidak timbul yang FAM kini dipimpin oleh individu yang tak reti pasal bola kerana beliau seorang yang berpengalaman luas, 30 tahun dalam bola sepak dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jadi bagi saya, desakan supaya Hamidin letak jawatan sebagai Presiden FAM adalah tidak wajar. Sebaliknya beliau masih relevan dan biarlah beliau meneruskan mandat yang diberi oleh ahli gabungan FAM untuk tempoh penggal yang ditetapkan iaitu dari 2021 hingga 2025 ini,” kata Bung Moktar.

Selain itu, Bung Moktar berharap semua peminat bola sepak tanah air bersama-sama memandang ke hadapan dan memberi sokongan kepada segala usaha yang bakal dilakukan oleh FAM dan Hamidin dalam memacu bola sepak negara.

Malah, beliau turut menjelaskan Hamidin perlu membuktikan kewibawaan jika terus diberikan peluang bagi memartabatkan semula maruah bola sepak negara dan seterusnya mengembalikan keyakinan peminat bola sepak tanah air.

“Kalau Hamidin letak jawatan sekarang, adakah ia akan selesaikan masalah? Siapa pula pengganti segera yang sesuai? Peminat perlu fikirkan semua itu, jangan hanya terlalu ikutkan perasaan kerana marah terhadap kegagalan skuad Harimau Malaya tempoh hari.

“FAM juga akan memulakan pembinaan ibu pejabat baharu dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya pada tahun ini yang mana sebenarnya projek ini sudah lama kita dengar sejak bertahun sebelum ini dan dari presiden-presiden terdahulu lagi. Nampaknya atas usaha keras Hamidin, ia akhirnya terlaksana juga ketika era beliau sebagai Presiden FAM ketika ini.

“Boleh dikatakan dalam tempoh singkat sebenarnya iaitu sejak beliau menjadi Presiden FAM pada Julai 2018 dan ditolak dengan gangguan pand3m!k C0V!D-19 selama dua tahun pada 2020 dan 2021, saya kira Hamidin sudah cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Berdasarkan pencapaian, selain muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018, tahun pertama di bawah pentadbiran Hamidin sebagai presiden turut menyaksikan pasukan Malaysia berjaya menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018, tempat ketiga Kejuaraan B-16 AFF 2018, naib juara Kejuaraan Futsal AFF 2018 dan naib juara Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2018.

sumber : BH

Ia disusuli pula pada tahun 2019 dengan kejayaan mara ke suku akhir Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFC 2019, naib juara Kejuaraan B-18 AFF 2019, layak ke Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 (tetapi dibatalkan kerana C0V!D-19) serta skuad Harimau Malaya merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan sepanjang tahun itu dengan peningkatan 13 anak tangga dalam ranking FIFA dari 167 ke 154.