Tak Perlu Kecoh

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menganggap sudah tiba masa untuk semua pihak fokus kepada usaha memastikan Liga Malaysia (Liga-M) lebih rancak dan menarik daripada terus mengaitkan isu jumlah penajaan yang tidak didedahkan.

FAS sendiri teruja dengan kehadiran dua penaja terbabit dan percaya tahap kemeriahan Liga-M pada musim ini akan lebih meningkat sekali gus menaikkan lagi imej bola sepak tempatan pada masa akan datang.

Jelas Johan, bukan senang untuk sesebuah liga mendapatkan penaja terbaik apatah lagi sebelum ini MFL berdepan banyak kekangan untuk menamatkan musim lalu dan dengan adanya Telekom Malaysia (TM) serta CIMB sebagai penaja, ia ibarat memberi petanda cerah untuk memulakan musim 2020 dengan baik.

“Bagi kami di FAS, CIMB mengambil langkah yang sangat penting untuk sukan bola sepak dan ternyata, mereka inginkan jenama CIMB ini terus berkembang bersama bola sepak Malaysia.

“Memang MFL dan barisan penaja tidak mendedahkan jumlah sebenar tajaan kepada semua pihak, tapi untuk kami sebagai rakan kongsi, kami tidak berminat untuk jadikan ia sebagai isu kerana yang penting, kami dimaklumkan mengenai jumlah terbabit.

“Berapa pun jumlahnya, kita patut lihat daripada aspek positif kerana apabila saingan liga semakin membangun, jumlah sesebuah tajaan itu pasti akan meningkat dan saya lebih berminat untuk tahu bagaimana pasukan dan MFL sendiri berusaha untuk Liga-M lebih rancak dan menarik,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa percaya pasukan tempatan bakal mendapat tempias besar selepas kehadiran TM dan CIMB muncul menjadi penaja dalam liga tempatan musim ini.

Kejayaan MFL mendapatkan kepercayaan syarikat-syarikat besar untuk bekerjasama dengan mereka bakal membuka lebih banyak peluang kepada pasukan untuk mendapatkan penaja lain.

Arena Metro sebelum ini melaporkan kemungkinan 24 pasukan dalam Liga-M tidak akan menerima dana lumayan seperti mana yang diraih pada 2018 yang menyaksikan 12 pasukan Liga Super meraih RM3 juta dan RM1 juta buat 12 pasukan Liga Perdana.