“Tahniah Kepada Lima Pemain Muda Kedah”

ALOR SETAR: Pemain muda Kedah, Mohd Aiman Afif Md Afizul terus menjadi perhatian apabila namanya disenaraikan menyertai latihan skuad bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan bagi persiapan menghadapi Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan pada Oktober ini.

Sebelum ini, Aiman Afif menjadi perhatian netizen terutama di kalangan penyokong skuad Lang Merah apabila wajahnya dikatakan mirip pelakon popular drama bersiri TV3, Budak Tebing dan telefilem, Heri Bota, Aedy Ashraf.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melalui media rasminya hari ini mengumumkan pemilihan nama Aiman Afif bersama empat pemain lain iaitu dua pemain dari skuad Piala Presiden dan dua lagi pemain Piala Belia untuk menyertai sesi latihan pusat skuad kendalian Brad Maloney bermula 6 Julai ini.

“Tahniah kepada semua lima pemain muda Kedah yang telah dipanggil untuk menyertai sesi latihan pusat bersama skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) tahun di bawah kendalian ketua jurulatih Brad Maloney.

“Mohd Aiman Afif Md Afizul dari skuad utama Kedah mengetuai rakan-rakan yang lain dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia Kedah, akan melaporkan diri pada 6 Julai 2020 ini di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

“Dua nama dari skuad Piala Presiden yang terpilih ialah Muhammad Amirul Akmal Safarinizam dan Muhammad Zulhazrizal Mohd Zuher, manakala dua pemain dari Piala Belia yang juga berada dalam senarai ialah Muhammad Aiman Farhan Muhamad Fauzi dan Muhammad Azim Anuar,”.

KFA dalam kenyataannya turut memuatkan ucapan tahniah buat kelima-lima pemain berkenaan dalam membawa nama Kedah ke saingan peringkat antarabangsa.

Aiman Afif yang kini berusia 19 tahun berjaya mempamerkan prestasi cemerlang ketika mewakili skuad Malaysia B-18 dalam saingan kelayakan AFC B-19 tahun lalu apabila merekodkan tujuh gol dalam kejohanan itu.

Skuad muda kebangsaan dalam persiapan untuk menghadapi pusingan akhir kejohanan AFC B-19 dari 14 hingga 31 Oktober di Tashkent, Uzbekistan.