Tahap konsentrasi pemain menjadi punca kekalahan

Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak tidak mahu pasukannya sering kali ‘bocor’ menjelang detik-detik akhir perlawanan yang menyaksikan mereka terlepas beberapa mata berharga pada saingan Liga Super, musim ini.

Situasi ini berlaku dalam empat perlawanan terakhir bermula semasa bertemu PJ City FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC dan yang terakhir, semasa tewas 2-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Dua punca utama yang dikenal pasti Bojan adalah kurangnya fokus dalam kalangan pemain selain tonggak gantian yang di bawa masuk gagal memainkan peranan mengekang pihak lawan.

“Daripada semua perlawanan ini, mungkin berdepan Terengganu FC antara situasi yang berada di luar kawalan kita kerana jaringan yang dilakukan oleh Makan Konate cukup cantik.

“Namun, beberapa perlawanan lain seperti dengan PJ City dan lain-lain, semuanya ada kena mengena dengan tahap konsentrasi pemain dan kami sedang cuba perbaiki masalah ini.

“Begitu juga aksi berdepan Sri Pahang, walaupun kami menang 2-1 namun gol yang dijaringkan oleh lawan juga pada masa kec3der@an, manakala dengan Kedah, saya enggan perkatakan.

“Apa yang saya boleh katakan mengenai perkara ini selain fokus pemain, saya lihat mereka yang dibawa masuk dari bangku simpanan tidak dapat berikan impak sama seperti pemain utama bila dibawa masuk dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

Skuad warga kota kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas meraih tiga kemenangan daripada 10 perlawanan selain mencatat tiga keputusan seri.

Skuad The City Boys bakal berdepan cabaran terbesar mereka pada Jumaat ini apabila menerima kunjungan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bagi melengkapkan cabaran mereka di pusingan pertama Liga Super.

Namun, Bojan terpaksa terus meratapi kehilangan ayam tambatan mereka di bahagian ser@ngan, Dominique Da Slyva yang akan disisihkan bagi tempoh dua minggu ekoran kecederaan di bahagian ligamen kaki.

“Dominique sememangnya pemain yang cukup penting kepada pasukan, tanpanya kami tidak banyak pilihan selain Romel Morales, namun dia lebih sesuai bertindak selaku pembantu di bahagian ser@ngan.

“Selain itu, saya mungkin menimbangkan Safee Sali dan mana-mana pemain di bahagian tengah yang boleh bertindak selaku peny3rang seperti Paulo Josue.

“Berdepan JDT, saya faham mereka pasti datang dengan situasi yang lebih bersemangat selepas kalah tempoh hari tetapi perkara ini amat baik kepada kami.

“Tekanan mungkin akan dirasai oleh mereka dan situasi adalah normal dalam bola sepak, jadi kami cuba yang terbaik berikan saingan kepada JDT, ” katanya.

sumber:HM