Syahrul Azwari Ibrahim, kini milik KUFC

Kota Bharu: Hasrat bekas pemain kebangsaan, Syahrul Azwari Ibrahim, 27 pulang ke tanah air termakbul selepas mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan Kelantan United Football Club (KUFC) hari ini.

Pemain berasal dari Tanah Merah itu menandatangani kontrak dalam majlis ringkas di Kota Darul Naim di hadapan penasihat kelab yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Pengarah Eksekutif KUFC Sdn Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, kehadiran Syahrul memperkuat lagi hasrat pasukan untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dalam Liga Perdana musim ini.

Katanya, pihaknya sudah lama ingin mengikat pemain yang membuat tiga kali penampilan bersama skuad kebangsaan tahun 2010, 2011 dan 2015 itu selain turut mempamerkan aksi cemerlang ketika bersama pasukan Sarawak, JDT II, Melaka United dan dua musim bersama Kedah.

“Syahrul juga lulus ujian kecergasan dan kita gembira berjaya mengikat beliau yang turut mendapat tawaran beberapa pasukan lain.

“Pengambilan pemain ini melengkapkan senarai pemain sebelum sepak mula liga bulan depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, pemain berketinggian 1.75 meter itu berkata, dia bersetuju menyarung jersi The Green Deers bagi perancangan masa depan.

Katanya, faktor keluarga turut mendorong beliau pulang berbakti kepada tanah kelahiran sendiri.

“Saya juga tetapkan sasaran untuk menemui rentak sebenar prestasi bagi musim 2021 dan cuba capai hasrat KUFC menjadi empat pasukan teratas liga,” katanya.