Sumareh bukan lagi pemain Pahang?

Spekulasi Mohamadou Sumareh tidak hadir ke sesi latihan selama sebulan kini dikaitkan pula dengan klausa 8.7 yang terkandung dalam kontraknya dengan Pahang.

Menurut Astro Arena, klausa itu memperuntukkan bahawa kontrak pemain boleh ditamatkan tanpa sebarang kesan, sama ada pembayaran pampasan atau sekatan sukan, sekiranya pemain tidak menerima gaji lebih daripada sekali.

Namun, pemain juga harus menyatakan niat untuk menamatkan kontrak, barulah pemain berhak untuk berunding dengan mana-mana pasukan lain tanpa perlu mendapat kebenaran daripada pasukan asal.

Bagaimanapun, pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang masih berharap isu Sumareh dapat diselesaikan dengan baik.

“Jika dia ada kemelut dengan apa sekali pun, pasti ada cara.

“Dollah Salleh membimbingnya daripada kosong, tiada bintang, sehingga kini menjadi pemain lima bintang dan menjadi pemain naturalisasi.

“Kami hanya mengharapkan Sumareh berbincang dengan jurulatih, berbincang dengan pengurus dan jangan tinggalkan pasukan begitu sahaja.”