sudah mulakan proses

FAM mengesahkan bahawa pengurusan pasukan Pahang FA sudah memulakan proses penswastaan kelab dan pemisahan FA ke FC.

Ini selepas pasukan Pantai Timur itu dilaporkan merupakan salah satu pasukan yang masih belum mengambil sebarang tindakan berhubung proses tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pelesenan Kelab Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata ini berdasarkan maklum balas dan pemantauan pihaknya yang mendapati beberapa pasukan sudah mula bergerak aktif termasuk Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP).

“Secara peribadi saya rasa Pahang dapat selesaikan proses penswastaan sebelum tarikh akhir kerana mereka adalah antara pasukan gergasi Pantai Timur yang mempunyai pelbagai sejarah dalam bola sepak Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya lihat pasukan lain juga sudah menunjukkan pergerakan positif dan serius dengan saranan AFC ini.

“FAM sentiasa bersedia membantu mana-mana pasukan yang memerlukan bantuan bagi melancarkan proses penswastaan kelab.”

Setakat ini, lima pasukan berjaya melengkapkan proses penswastaan iaitu JDT, PJ City, Negeri Sembilan, ATM dan Sarawak United.

Ia merupakan satu khabar positif kepada Pahang selepas dibelenggu masalah kewangan pada awal musim ini sehingga terpaksa melepaskan beberapa pemain utama termasuk kapten pasukan, Matthew Davies yang membuat keputusan untuk menyertai JDT.

Malah, Matthew akan bertemu dengan bekas pasukan dan rakan-rakan lamanya apabila JDT berkunjung ke Pahang pada 28 Ogos ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan.