Sri Pahang mahukan slot ke suku akhir Piala Malaysia

Kuantan: Pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff mengakui cabaran getir bakal dihadapi skuad itu dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Namun, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu percaya skuad Tok Gajah sudah sedia walaupun aksi kurang memberangsangkan dipersembah dalam saingan Liga Super.

“Memang benar Sri Pahang kurang menyerlah dan tidak mencatat keputusan baik dalam saingan Liga Super tetapi kami mampu bangkit dengan prestasi lebih baik di Piala Malaysia.

“Fokus utama kami ialah untuk meningkatkan persefahaman serta kekal fokus pada setiap perlawanan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan.

“Kelemahan yang dipersembahkan pada saingan liga diatasi untuk mendapat keputusan terbaik,” katanya. Pada saingan Piala Malaysia musim ini, Sri Pahang diundi dalam Kumpulan A bersama Penang FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan naib juara Liga Perdana musim ini.

Ditanya peluang meraih tiga mata berdepan KL City pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia Ahad ini, Abdul Malik akan memastikan misi berkenaan menjadi kenyataan.

Katanya, ini kerana kemenangan akan membantu meningkatkan motivasi skuad Tok Gajah itu dalam memburu tempat ke saingan suku akhir.

“Bagi saya kami perlu menang dua perlawanan awal untuk memberi lebih keyakinan dan kerjasama serta persefahaman antara rakan sepasukan amat diharapkan.

“Ketika ini, kami menjalani latihan seperti biasa dan tiada masalah kec3der@an sebagai persediaan.

“Saya juga mengharapkan turut sama untuk muncul sebagai penjaring,” katanya yang menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super musim ini.
-harian metro