Terpaksa Melupakan

SKUAD Lang Merah terpaksa melupakan pelan A apabila pemain pertahanan kuota Asia, Shakir Hamzah tidak dapat beraksi pada perlawanan pertama apabila Liga Malaysia (Liga M) bersambung bertemu PDRM FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini.

Pemain pertahanan kelahiran Singapura ini difahamkan akan menjalani pengg@ntungan kad kuning satu perlawanan sekaligus memaksa skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memikirkan pelan B bagi mengukuhkan benteng pertahanan Lang Merah.

Menurut Aidil Sharin, beliau terpaksa mencongak strategi lain bagi memastikan benteng skuad kendaliannya kekal teguh biar pun tanpa pemain berpengalaman itu.

“Saya terpaksa memikirkan pelan B untuk memastikan kombinasi dibahagian pertahanan kekal utuh selepas Shakir Hamzah tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan kad untuk perlawanan akan datang menentang PDRM selepas ini.

“Namun kita tidak akan terburu-buru kerana masih ada masa untuk mempertimbangkan pemain gantian yang sesuai dan berkeupayaan mengisi tempat Shakir,” katanya.

Aidil pada masa sama turut berpuas hati dengan perkembangan semasa semua pemain lain yang tekun dan bersemangat selepas menjalani dua perlawanan persahabatan ketika menentang Perak 2 pada 8 Ogos dan Universiti Kebangsaan Malaysia FC (UKM FC), 10 Ogos lalu.

Skuad Lang Merah bakal meneruskan persediaan melalui satu lagi perlawanan persahabatan bertemu skuad Harimau Kumbang Pulau Pinang di Stadium Darul Aman pada 19 Ogos ini.

Kedah yang kini menduduki tangga ketujuh Liga M, memulakan kempen saingan Liga M dengan mengutip empat mata melalui empat perlawanan sejak Liga Super dimulakan pada 28 Februari sehingga Liga M dihentikan sementara pada 16 Mac lalu.