Dua ramuan perangkap anak buah Park Hang-Seo

Kurangkan kesilapan dan kekal disiplin antara dua kunci utama yang perlu dilakukan barisan pemain skuad Harimau Malaya apabila turun menentang Vietnam dalam saingan Piala AFF di Stadium Bishan, di sini, Ahad ini.

Tegas tonggak pertahanan kiri negara, Syahmi Safari, berdasarkan pemerhatiannya selepas empat kali (tiga kali dalam Piala AFF 2018 dan sekali di Kelayakan Piala Dunia 2022 Jun lalu) berdepan skuad Naga Emas sejak 2018, corak permainan dan taktikal anak buah Park Hang-Seo itu tidak berubah dan masih sama.

“Rasanya mereka (Vietnam) tak ada taktikal berubah banyak daripada 2018, walaupun mereka kekalkan disiplin yang sama. Apa yang kita boleh tengok dengan lima pemain di bahagian pertahanan dan mereka sangat laju ketika meny3rang.

“Apa yang penting di sini kita semua rakan-rakan kena ambil benda ini dengan lebih serius dan lebih berdisplin untuk kekang pasukan Vietnam ini,” katanya yang kini hangat dikaitkan bersama pasukan Johor Darul Ta’zim selepas sah meninggalkan Selangor FC musim ini.

Pentas AFF di Singapura ini adalah yang kedua buatnya selepas memperagakan aksi cemerlang pada edisi 2018 hingga membantu pasukan negara muncul naib juara.

Paling diingati di edisi lalu sudah pastinya gol cantik dari luar kotak penalti ketika aksi separuh akhir menentang Thailand di Bangkok yang menyaksikan jaringan itu di hantar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke Fifa bagi dicalonkan dalam Anugerah Puskas pada tahun terbabit.

Ditanya mengenai peranan barunya selaku pertahanan kiri di Singapura ini, tonggak berusia 23 tahun itu mengakui semakin serasi meskipun posisi hakikinya adalah di bahagian pertahanan kanan.

sumber : arena metro

“Alhamdulillah, dari satu perlawanan ke satu perlawanan saya dapat sesuaikan diri. Biarpun ada beberapa keadaan yang saya perlu sesuaikan diri sebab dah biasa main di bahagian kanan, tapi saya dapat biasakan di kiri dan semakin baik,” katanya.