Situasi Ini Membuatkan Susah Untuk Kita Nak Main

Kekurangan mencipta banyak peluang jaringan menjejaskan hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk meneruskan rentak kemenangan apabila sekadar seri 0-0 dengan Kuching City FC, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ini diakui ketua jurulatih pasukan itu, K Devan selepas melihat jentera ser@ngan skuad Hobin Jang Hobin menemui jalan buntu untuk menghasilkan gol.

Malah, beliau mengakui skuad bimbingannya bernasib baik apabila sepakan penalti yang diambil pemain import Kuching City, Bryan Jones Anicezio pada minit ke-75, dapat diselamatkan Mohd Muhaimin Mohamad.

“Tidak seperti perlawanan terdahulu, malam ini (malam tadi) persembahan pemain di bawah keupayaan sebenar apabila tidak banyak peluang jaringan dapat dicipta, walaupun kita turunkan barisan kesebelasan utama.

“Namun begitu, ketiadaan Alain Akono yang tidak beraksi jelas memberi impak kepada jentera ser@ngan, walaupun kita dapat turunkan semula Mohamad Zaquan Adha (Abd Radzak).

“Selain itu, terdapat beberapa pemain terutama di bahagian tengah seperti R Barathkumar tidak beraksi pada tahap prestasi sebenar sekali gus menjejaskan taktikal yang kita rancangkan,” katanya.

Pengendali berpengalaman itu berkata, tindakan pemain Kuching City yang kerap berkampung di kawasan gol menyukarkan barisan hadapan Negeri Sembilan untuk meletakkan bola ke dalam gawang.

Devan berkata, situasi itu membuatkan mereka terpaksa melakukan percubaan dari jarak jauh yang sering tidak menemui sasaran selain mudah bagi penjaga gol pelawat, Mohd Iqbal Mohd Suhimi untuk mempertahankan gawangnya.

“Saya lihat sekarang ini pasukan yang datang ke Paroi, pemain mereka buat macam ‘parking bus’ dengan berkumpul di kawasan gol. Hari ini, sembilan pemain berada di bawah dan hanya seorang di atas.

“Situasi ini membuatkan susah untuk kita nak main..dan ia memerlukan pemain mempunyai kreativiti tinggi untuk menghasilkan gol.

“Memang suatu kerugian jika beraksi di tempat sendiri gagal mencapai kemenangan.

“Apapun keadaannya, kita kena uruskan kerana kemenangan bagi setiap perlawanan amat penting jika kita mahu layak ke Liga Super musim hadapan,” katanya yang yakin perkara itu akan dapat diatasi pada aksi berikutnya.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, walaupun sedikit terkilan apabila sepakan penalti Bryan Anicezio, gagal menghasilkan gol.

“Menjadi matlamat kami hadir ke Paroi bagi mendapatkan mata dan sasaran itu tercapai apa lagi menentang satu pasukan yang baik dan hebat macam Negeri Sembilan.

“Ini satu bonus bagi pemain Kuching City yang mampu menaikkan semangat serta moral mereka bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Kita akan nilai hasil perlawanan malam ini, apapun misi kita malam ini berjaya untuk mendapatkan mata dan tahniah buat pemain,” katanya.