‘Silap kami sendiri’

PENGENDALI muda Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap tenang selain memberikan pujian kepada anak buahnya biarpun pasukannya diaibkan Perak pada aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, (SSMZA) di Gong Badak semalam.

Baginya, pemain berjaya memperagakan aksi yang baik dan mendominasi permainan dalam perlawanan sulung itu terutama pada babak pertama sebelum tersungkur di laman sendiri.

Katanya, kekalahan kepada skuad The Bos Gaurus itu memberi pengajaran berguna kepada pasukannya untuk memperbaiki mutu permainan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan permainan yang diperagakan pemain. Pada awal permainan kita beraksi dengan baik mendominasi permainan dengan mencipta beberapa peluang menarik sehingga mendahului 1-0.

“Namun selepas kedudukan 1-1, momentum permainan berubah dan kelihatan pemain berada di bawah tekanan walaupun cuba bangkit pada babak kedua tapi lawan berjaya menambah gol kedua.

“Selepas jaringan itu, semangat pemain tetap melawan dan tidak putus asa tapi jaringan ketiga lawan melemahkan semangat pemain dan apa yang saya lihat Perak menghasilkan jaringan berpunca kesilapan kita sendiri. Kita berikan gol mudah kepada lawan, jadi inilah yang perlu dipelajari pemain.

“Bagaimanapun ini adalah lumrah dalam bola sepak, apabila kita buat kesilapan kita akan dihukum, jadi kesilapan itu perlu diperbaiki bagi mengelak kesilapan sama berulang sebagai mana perlawanan pertama ini,” katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad Penyu terpaksa akur tewas 1-3 biar pun mendahului perlawanan hasil jaringan Sanjar Shaakhmedov sebelum Guilherme de Paula meledak dua gol manakala satu gol lagi menerusi kapten, Shahrul Saad.

Jaringan penalti Guilherme pada penghujung babak pertama bagaikan membunuh dominasi pemain TFC dan kehadiran 25,000 peminat setia skuad Penyu di gelanggang baharu itu belum cukup untuk membantu TFC mencatat kemenangan.