Silap Besar

Silap besar anggap Uitm FC pasukan belasahan …

Tiga perlawanan sudah diharungi, Uitm FC sekadar mampu mengutip satu mata hasil daripada keputusan seri menentang Kedah dalam aksi ketiga Liga Super 2020.

Ironinya mereka adalah satu daripada tiga pasukan yang masih belum merasai nikmat kemenangan – dua lagi pasukan adalah Kedah dan PDRM FA.

Apa yang sedang dilalui Uitm FC yang mencatat sejarah selaku pasukan universiti pertama bermain di Liga Super bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana berdasarkan kekuatan pasukan, mereka sudah diramal akan berdepan kesukaran bermain di pentas elit.

Malah ramai pemerhati sudah awal-awal menyenaraikan skuad Frank Bernhardt itu sebagai calon relegasi, apa sahaja pencapaian yang lebih baik daripada itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

Begitupun, di sebalik keputusan yang tidak memihak kepada mereka, Uitm FC membuktikan kepada semua betapa ianya silap jika menganggap mereka adalah pasukan belasahan Liga Super dan lubuk mata.

Ketika tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi kedua Liga Super, Uitm FC tidak memberi laluan mudah, memberikan tentangan sengit dan berjaya mendapatkan jaringan penyamaan menerusi Victor Nirennold sebelum akur dengan kekalahan 1-2 menerusi jaringan Nazmi Faiz.

Manakala ketika seri menentang Kedah yang juga salah satu pasukan pilihan musim ini pada Rabu lalu, sekali lagi Uitm FC tampil dengan permainan berkualiti serta semangat melawan tinggi.

Bukan sahaja menafikan hasrat Lang Merah melakar kemenangan sulung apabila Nor Haziq Aris menyelamatkan penalti Kpah Sherman pada minit ke-60, tetapi bangkit mencuri satu mata – mata sulung mereka musim ini – menerusi jaringan Gustavo Almeida.

“Tiga perlawanan pertama yang sukar untuk sebuah pasukan kecil seperti kami, Melaka (United), JDT dan Kedah, tetapi kita memberikan tentangan, menyukarkan lawan dalam setiap perlawanan dan lebih penting bertambah baik dari perlawanan ke perlawanan.

sumber: foxsports

“Kita juga mempunyai peluang untuk mendapatkan jaringan kemenangan ketika menentang Kedah tetapi untuk akhirnya meraih mata pertama musim ini ia satu petanda positif dan satu suntikan untuk menyasarkan pula tiga mata selepas ini,” ujar Bernhardt.

Aksi seterusnya Uitm FC akan berdepan PDRM FA di Stadium Uitm Shah Alam dalam aksi keempat pada Ahad, dengan peluang dilihat seimbang untuk mereka akhirnya meraih tiga mata pertama musim ini.