Siapa Kata Tiada Orang Yang ‘layan’

Siapa kata tiada orang yang ‘layan’ Liga Malaysia (Liga M)?

Berdasarkan data sehingga 20 September, saingan Liga Super yang menampilkan 132 perlawanan berjaya memikat 77,965,339 jumlah tontonan melalui platform YouTube rasmi unifi seperti dimaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan, semalam.

Tontonan secara langsung yang disiarkan dalam tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV dan unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM menerusi set top box unifi pula mencatatkan rekod 35,891,793 tontonan.

Perkembangan itu jelas satu berita gembira dengan Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan data terbaharu itu membuktikan saingan domestik tetap dekat di hati penyokong bola sepak tanah air sekali gus memiliki aura tersendiri.

“Sudah pasti ini satu angka yang cukup positif di mana perkembangan Liga M khususnya Liga Super terus diikuti peminat bola sepak di negara ini. Di sebalik pandemik COVID-19, saingan Liga Super terus rancak dan mendapat perhatian semua.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meneruskan saingan dan tidak lupa kepada unifi yang mengambil inisiatif menyiarkan siaran langsung Liga Super secara percuma menerusi platform unifi dan juga RTM.

“Saya percaya inisiatif ini dapat menyemarakkan bukan saja Liga M, malah menitipkan semangat buat industri bola sepak tanah air yang terkena tempias akibat pandemik COVID-19,” kata Ab Ghani.

Secara keseluruhan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati status mereka sebagai pasukan terbaik negara apabila mencatat jumlah tontotan paling ramai di platform Youtube Unifi dengan catatan 22,600,959 tontonan, diikuti Kedah Darul Aman FC iaitu 15,901,863 dan Penang FC (13,211,869).

Malah, rekod tontonan siaran langsung menerusi tiga platform itu turut menyaksikan tiga perlawanan membabitkan JDT mencatat jumlah tertinggi.

Rekod tertinggi dicatatkan sebanyak 698,341 ketika skuad bimbingan Benjamin Mora itu berdepan Terengganu FC (TFC) sementara aksi berdepan Kedah menyaksikan jumlah tontonan sebanyak 670,706.

Rekod tontonan siaran langsung ketiga tertinggi pula adalah ketika skuad Harimau Selatan menentang Selangor FC yang mencatatkan rekod sebanyak 651,295.