Shahrel Fikri Kini Mampu Mengukir Senyuman

Striker berb!sa Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi kini mampu mengukir senyuman apabila dapat kembali menjalani sesi latihan berpasukan buat kali pertama sejak saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 ditangguhkan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Shahrel Fikri atau lebih mesra dengan panggilan Eky berkata, latihan ringan yang dikendalikan dalam kumpulan kecil itu mengubat kerinduannya untuk menyarung semula kasut bola dan kembali menjejakkan kaki ke padang selepas lebih tiga bulan berlatih bersendirian di rumah.

“Saya gembira dan teruja dapat jumpa semua (pasukan) semula disebabkan sudah lama tidak berlatih berpasukan, perasaan berlatih semalam sangat puas walaupun sekejap, dalam 40 minit hingga satu jam.

“Selalunya, kami rehat sebulan apabila liga tamat tetapi sebab Covid-19 sampai tiga bulan lebih rehat. Jika sebulan rehat pun kami perlu kerja keras inikan pula tiga bulan. Peluang berlatih semula ini rasa macam memulakan hidup baharu…seperti musim 2020 baru bermula,” katanya.

Kesemua aktiviti bola sepak profesional termasuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 ditangguhkan bermula 16 Mac lepas dan dijangka bersambung pada September depan.

Bagaimanapun, bekas peny3rang prolifik pasukan PKNP FC berusia 25 tahun itu mengakui beliau tidak sabar untuk mengikuti sesi latihan seperti sebelum ini.

“Jurulatih maklumkan selama dua minggu latihan tanpa kontak akan dibuat, memang sedikit janggal sebab latihan sebelum ini ada kontak dan sekarang terpaksa menjaga jarak,” jelasnya yang pernah dinobatkan peny3rang terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua pemain pasukan Perak yang kembali menjalani latihan bermula semalam menunjukkan reaksi positif dan bersemangat untuk menghadapi baki tujuh perlawanan saingan Liga Super.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini memberi kebenaran, untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan tanpa sentuhan badan, dengan melakukan jarak sosial tiga hingga lima meter bermula 15 Jun lepas. – Bernama