Seorang Lagi Pemain Kacukan Bakal Barisi Skuad B-19 Tahun Negara

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini telah mengeluarkan senarai awal 35 pemain yang dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persediaan menghadapi saingan AFC B-19 Tahun.

Dalam senarai tersebut, dua pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Muhammad Adam Nadzmi Zamri (BISP Cruzeiro Football Academy) dan Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal (St. Loius Football Academy) turut tersenarai.

Melihat kepada perkara ini, pemain kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Chong dilihat wajar untuk dipertimbangkan bagi membarisi skuad B-19 tahun negara dalam saingan yang akan bermula pada 14 hingga 31 Oktober mendatang.

Umum diketahui pemain berusia 18 tahun itu pernah beraksi bersama akademi terkenal di Eropah seperti Cagliari Calcio di Itali, Sporting Lisbon di Portugal dan West Bromwich Albion di England.

Kobe boleh beraksi di bahagian tengah dan beliau juga boleh mengisi posisi number 10, yang mana boleh digandingkan dengan Luqman Hakim dan juga seorang lagi pemain kacukan iaitu Jaami Qureshi.

Selain itu, pengalaman yang dimiliki oleh Kobe Chong selepas beraksi di beberapa akademi di Eropah boleh dimanfaatkan oleh skuad bimbingan Brad Maloney.

Bagi saingan AFC B-19 Tahun edisi kali ini, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014 iaitu Qatar, Tajikistan dan Yemen.