senarai penuh pemain The Red Warriors (TRW)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dijangka mengeluarkan senarai penuh pemain The Red Warriors (TRW), 15 Disember ini.

Presiden KAFA, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya akan meneliti kesemua calon termasuk import pada Mesyuarat Eksekutif KAFA pada tarikh berkenaan.

Antara pemain import yang h4ngat diperkatakan peminat TRW ketika ini adalah Bektur Talgat Uulu dari Kyrgyzstan.

“Boleh dikatakan sebahagian besar skuad 2019 akan dikekalkan dan ada beberapa pemain tempatan akan dibawa ke Kelantan, sekurang-kurangnya dua orang sudah ada nama dalam Liga Malaysia.

“Ketua jurulatih (Yusri Che Lah) sedang menimbang beberapa pemain import dari Kyrgyzstan, Liberia, Senegal dan Nigeria. Dengan adanya tambahan pemain import, Insya-Allah TRW dapat beri saingan.

“Kita akan teliti semua senarai cadangan dikemukakan jurulatih pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif. Insya-Allah kita akan lengkapkan pasukan Liga Perdana, Piala Belia dan Piala Presiden,” katanya pada majlis penyerahan tajaan daripada penaja, Rasniaga Motosport Sdn Bhd.

Turut hadir Naib Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid serta Pengerusi Jawatankuasa Media, Publisiti dan Penyokong, Datuk Ir Shamin Fahmin Hassan.

Pada majlis berkenaan, Rasniaga Motosport Sdn Bhd menyalurkan tajaan RM100,000 berserta sebuah motosikal Harley-Davidson yang akan dijadikan hadiah cabutan bertuah kepada pemegang pas bermusim KAFA.

Sementara itu, Pengarah Urusan Rasniaga Motosport Sdn Bhd, Zuhairi Abdullah berkata, penyokong pasukan negeri itu cukup hebat dan menarik minatnya.

“Saya berminat kerana saya rasa peminat Kelantan cukup dinamik dan taksub dengan bola sepak. Pada pandangan saya, lonjakan akan berlaku dan berharap sesuatu yang positif mampu dihasilkan,” katanya.