Senarai pemain Terengganu FC sudah lengkap

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) serius menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan apabila tidak menunggu lama untuk melengkapkan senarai penuh pemainnya.

Malah skuad kendalian Nafuzi Zain itu juga sudah mula menjalani latihan sejak Selasa lalu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak.

Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, pihak pengurusan kini hanya menanti kehadiran pemain import yang bakal memperkuatkan pasukan.

“Kita sudah mempunyai pemain tempatan dan import yang lengkap mengikut posisi yang ditentukan oleh barisan jurulatih sebagai persediaan menjelang Liga M selain Piala AFC musim depan.

“Cuma pemain import belum sampai lagi, senarai sudah ada, ini kerana untuk membawa mereka ada cabaran dan prosedur agak ketat dengan situasi sekarang wabak pandemik Covid-19 kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk tidak boleh masuk ke negara ini dan macam-macam lagi.

“Oleh sebab itu kita tidak boleh jangka bila pemain import ini akan tiba ke Terengganu, kita sudah berusaha, namun kita harapkan mereka sampai selewat-lewatnya awal Januari depan kerana permohonan pun sudah dibuat cuma menanti kelulusan berdasarkan prosedur yang ditetapkan kerajaan.

“Kita yakin dan percaya dengan senarai pemain yang ada ini dan paten yang akan diterapkan jurulatih bakal mempunyai falsafah yang baik dan sesuai dengan pemain sekali gus bakal menghadirkan impak yang positif dan berkesan buat pasukan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu ketika sesi latihan kedua pemain TFC semalam.

Terdahulu skuad Penyu itu melepaskan 12 tonggaknya musim ini termasuk kapten berdarah campuran Malaysia-England, Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov, Muhammad Faris Ramli, Babacar Diallo dan Dominique Da Sylva yang mengisi kuota pemain import.

Manakala pemain tempatan yang sudah mengucapkan selamat tinggal termasuk Stuart Wark, Darren Lok, D Saarvindran, Kamal Azizi Mohd Zabri, Ilham Amirullah Razali, Nasrullah Haniff Johan dan bekas pemain Harimau Muda A, Shukur Jusoh.

Bagi mengisi kekosongan itu TFC merantai tujuh muka baharu iaitu Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhammad Arif Mohamed Anwar (UiTM), tiga pemain Kelantan iaitu Hakimi Abdullah, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Nik Akif Syahiran Nik Mat serta Asnan Ahmad (UKM FC) dan terakhir Azarul Nazarith Azhar bekas pemain FELDA United.