Senarai 10 Pemain Tempatan Termahal

PEMENANG dua kali Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK), Safawi Rasid dijulang sebagai pemain termahal dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan nilai pasaran dianggarkan mencecah 300,000 Euro (RM1.3 juta).

Bagaimanapun, nilai ‘saham’ pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut dikongsi bersama tiga tonggak lain yang disenaraikan oleh laman web terkenal www.transfermarkt.co.uk.

Berdasarkan prestasi sepanjang musim lalu, Safawi sememangnya layak memegang status tonggak termahal apabila membantu skuad Harimau Selatan meraih dua kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia.

Beberapa jaringan penting sepanjang musim termasuk sepakan percuma menarik ketika final Piala Malaysia bertemu Kedah menyaksikan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu muncul antara pel3dak berb@haya JDT.

Aksi cemerlangnya diteruskan di peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya terutama ketika membenam Indonesia 2-0 di Bukit Jalil yang menyaksikan dia meledak kedua-dua gol itu.

Sementara itu, nilai RM1.3 juta turut diberikan kepada bekas ketua pasukan skuad Harimau Malaya dan JDT, Safiq Rahim diikuti pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar dan tonggak pertahanan Perak, Shahrul Saad.

Begitupun, tanda harga sebenar Safiq mengalami sedikit kejatuhan berbanding musim lalu pada harga 360,000 Euro (RM1.9 juta) yang berkemungkinan susulan kesan faktor usia selain tidak lagi dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan.

Apa yang menarik, nilai tinggi Shahrul meletakkan dirinya sebagai pertahanan paling mahal dalam kalangan pemain tempatan di saingan Liga Super.

Dalam senarai sama, Natxo Insa yang beraksi untuk JDT mengungguli carta pemain berdarah campuran paling mahal dengan nilai 400,000 Euro (RM1.7 juta) disusuli pemain Selangor, Brendan Gan 350,000 Euro (RM1.5 juta) dan seorang lagi pertahanan JDT, La’Vere Corbin-Ong 325,000 Euro (RM1.4 juta).

Kedudukan itu jauh meninggalkan tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh pada nilai 275,000 Euro (RM1.2 juta).