Semua Pasukan Liga Malaysia Mencontohi Pengorbanan Besar JDT

Semalam juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan pemotongan gaji sebanyak 33% yang melibatkan pemain, jurulatih dan kakitangan kelab itu untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban masyarakat menghadapi wabak pandemik COVID-19.

Langkah JDT itu turut mendapat pujian daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap semua pasukan Liga Malaysia mencontohi JDT dalam mencapai persetujuan bersama di antara kelab, pemain dan pegawai pasukan berkenaan bagi menangani situasi semasa berkaitan penularan wabak pandemik itu.

“Sikap tolak ansur yang ditunjukkan para pemain dan pegawai pasukan JDT itu wajar dipuji kerana mereka memahami situasi dan keperluan semasa yang mana pengorbanan perlu dilakukan demi meringankan beban kelab selepas saingan Liga Malaysia 2020 ditangguh sejak 16 Mac lalu akibat COVID-19, selain membantu mereka yang terjejas dan memerlukan akibat wabak ini.

“Sudah tentu FAM berasa gembira dengan tindakan positif yang ditunjukkan ini selepas FAM dan Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan media bersama pada Khamis lalu (26 Mac 2020) telah menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab terlibat untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan para pemain dan pegawai bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.

“Dengan ini FAM sekali lagi berharap agar kelab atau pasukan lain serta para pemain mereka turut dapat mengadakan perbincangan terbuka dan mencapai satu keputusan bersama seperti dilakukan oleh JDT ini demi kita semua sama-sama menjaga kepentingan industri bola sepak di negara ini,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan.

JDT Perlu Dijadikan Contoh Perbincangan Terbuka Di Antara Kelab, Pemain & PegawaiPersatuan Bolasepak Malaysia (FAM)…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Sunday, March 29, 2020

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama JDT memberi bantuan kepada masyarakat kerana sebelum ini mereka pernah memberikan sumbangan kepada mangsa bencana banjir di Pahang dan Kelantan serta mangsa bencana gempa bumi di Sabah dengan memberi wang kemenangan Piala Malaysia.

“Apa yang telah ditunjukkan oleh JDT ini merupakan contoh pengurusan terbaik sesebuah kelab dalam menangani permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu global ini dan sudah tentu kredit perlu diberikan kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas usaha positif ini dan cara baginda menguruskan kelab secara keseluruhannya,” kata Stuart.