Semoga Ada Sinar Baharu

JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim meletakkan harapan tinggi agar Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak ‘bungkus’ sebaliknya kembali bersinar meskipun peluang untuk melihat semula liga paling berprestij dalam negara itu seakan berkubur.

Bekas jurulatih Terengganu FC (TFC) itu berharap wabak pandemik Covid-19 yang kini melanda dunia termasuk Malaysia pulih seberapa segera bagi memastikan pemain dapat kembali turun ke padang.

“Sebagai bekas pemain dan jurulatih, sudah pasti saya mahu melihat sukan nombor satu negara itu kembali bersinar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Begitu rugi jika Liga M dibatalkan, sebaliknya kita perlu lihat dulu perkembangan semasa wabak pandemik Covid-19 itu.

“Sekiranya wabak pandemik ini sudah reda dan kerajaan serta kementerian kesihatan mengesahkan negara sudah benar-benar selamat, kita boleh teruskan liga tanpa penyokong terlebih dahulu walaupun sudah tentu tidak meriah.

“Lagipun saya berpandangan semua pemain sudah bersedia untuk kembali ke padang walaupun mereka hanya berlatih di kediaman masing-masing, mungkin kita boleh sambung liga sahaja dulu manakala Piala FA dan Piala Malaysia perlu ‘dikorbankan’ kerana kesuntukan masa.

“Jika hanya liga dilangsungkan, sekurangnya-kurangnya ada satu piala dan untuk liga tahun depan kita boleh bermula seawal Januari tidak seperti tahun ini bermula hujung Februari.

“Tapi jika Liga M musim ini batal, semua pemain dan pihak berkaitan perlu reda dan akur walaupun impaknya juga besar termasuk kepada penaja selain pasukan, yang penting keselamatan dan kesihatan perlu menjadi keutamaan berbanding yang lain,” ujarnya yang berkeyakinan dengan kerja keras barisan hadapan negara wabak ini bakal dapat dibendung.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan perlawanan bola sepak tidak dibenarkan walaupun selepas tempoh PKP tamat kerana ia melibatkan permainan berkumpulan dan ada sentuhan yang boleh mendorong penularan wabak pandemik Covid-19.

Ismail menjelaskan orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkenaan sehingga suatu tempoh yang akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas tempoh PKP berakhir.