Selangor Membuat Keputusan

Selangor membuat keputusan untuk menangguhkan perancangan untuk kembali mengadakan sesi latihan pada 9 Jun ini.

Ia selepas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melarang kerajaan negeri daripada memberikan kebenaran kepada pasukan bolasepak untuk mengadakan sesi latihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa.

Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata keputusan itu dibuat menunjukkan bahawa mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan MKN.

“Melalui taklimat MKN sebelum ini, pihak pengurusan FAS telah memutuskan untuk menangguhkan perancangan latihan yang sepatutnya bermula bulan ini sehingga ia mendapat kelulusan daripada pihak MKN,” katanya kepada Astro Arena.

“Kami rasa kami perlu mengikut MKN kerana ia adalah demi kebaikan semua pihak. Perancangan kami ada sedikit terjejas tetapi setiap pemain masih dipantau oleh jurulatih fizikal kami setiap hari.

“Cuma jika dapat melakukan latihan secara berkumpulan, ia lebih komprehensif berbanding latihan di rumah masing-masing.”

Dengan MFL yang hanya boleh membuat permohonan untuk mendapatkan kelonggaran khas bagi meneruskan saingan Liga Super dan Liga Premier selepas PKPB diisytihar tamat, pasukan dan pemain terpaksa menunggu lebih lama untuk mengadakan sesi latihan.

Ini juga bermakna Kedah dan Kuala Lumpur berkemungkinan akan mengikut jejak langkah Selangor untuk menangguhkan perancangan sesi latihan mereka bagi bulan Jun.