Selangor Boleh Saingi JDT, Sukar Buat Kedah Dan Pahang

Hanya Selangor yang memiliki kekuatan untuk menjadi pencabar serius kepada Johor Darul Takzim seterusnya berpotensi menoktahkan dominasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Itu pandangan jurulatih berpengalaman luas, Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui Harimau Selatan pada hakikatnya sudah terlalu jauh berbeza kelas dengan pasukan lain dalam Liga Malaysia dan sesebuah pasukan itu perlu mempunyai dua kali ganda kekuatan untuk mencabar mereka.

“JDT adalah pasukan yang lain dari yang lain, dalam hal ini saya lihat Selangor memiliki kualiti untuk mencabar dan sebolehnya mahu melihat ada kejutan dapat dilakukan tahun ini. Selangor ada pemain baru seperti Brendan Gan dan Safuwan Baharudin, memang nampak susah saya sendiri pernah mengalami ketika bersama Felda United dan Terengganu FC, tetapi bukan mustahil. Jurulatih kena memikirkan cara menghadapi mereka,” katanya kepada Stadium Astro.

Mengenai peluang beberapa pasukan lain seperti Pahang (naib juara Liga Super 2019) dan Kedah yang turut mempersiapkan skuad mantap dengan merekrut pemain-pemain berkualiti seperti Kipre Tchetche, Kpah Sherman, Hadin Azman, Shahril Shaari, Irfan Zakaria dan ramai lagi pemain, ini reaksi Irfan Bakti.

“Sukar untuk Pahang mengekalkan rentak seperti musim lalu setelah keh!langan ramai pemain, manakala Kedah pula membawa masuk ramai pemain baru dan ini sudah tentu mengambil masa untuk membentuk keserasian,” kata Irfan Bakti yang tidak membimbing mana-mana pasukan selepas meninggalkan Terengganu FC pada pertengahan 2019.

Sebagai rekod, Pahang telah membawa masuk tiga pemain import baru dalam kelibat Adam Reed, Ivan Carlos dan Khalil Khamis selain mendapat sentuhan Gopi Rizqi Ramachandra dan Sharbinee Allawee Ramli serta dua pemain dari JDT iaitu Fazly Mazlan dan S.Kumaahran.

Pasukan tok gajah telah keh!langan khidmat kapten pasukan Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha, Zubir Azmi, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Kogileswaran Raj tetapi mengekalkan beberapa pemain utama seperti Muslim Ahmad, Nor Azam Azih dan Mohamadou Sumareh.