Selangor bakal mengikat bintang Jepun ?

PETALING JAYA: Dari ‘superstar’ Piala Dunia Jepun, bintang AC Milan dan pemain yang ‘tidak dingini’ kelab kerdil Portugal, Portimonense, Keisuke Honda tiba-tiba menc3tus kekecohan dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia apabila dikaitkan dengan Selangor.

Pemain kelahiran Osaka berusia 34 tahun itu menjadi tumpuan peminat Liga Malaysia (Liga M) ekoran laporan yang disiarkan portal sukan, Tokyo Sports Web semalam bahawa dia menerima tawaran daripada sebuah pasukan Liga M sebelum menyertai kelab Azerbaijan, Neftci Baku.

Honda sebelum ini hanya sempat menyarung jersi kelab yang pernah disertai oleh Safawi Rasid, Portimonense FC di Portugal untuk tempoh lima hari sebelum kontraknya ditamatkan kerana masalah birokrasi.

Pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan Kemboja pada 2018 dan menyarung jersi Blue Samurai dari 2008 hingga 2018, Honda kini amat terdesak untuk beraksi dalam mana-mana liga profesional kerana masih berharap untuk mewakili negaranya dalam Sukan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Dia hanya menandatangani kontrak dua bulan bersama Neftci Baku dalam Liga Perdana Azerbaijan bermula 15 Mac lalu, dan itu bermakna Honda ‘bebas’ untuk menyertai pasukan lain, termasuk Selangor sebaik saja kontraknya tamat bulan depan.

Selain dikaitkan dengan pasukan King of Malaya, yang kini menduduki tangga kelima Liga Super, Honda juga pernah dikaitkan dengan kelab Indonesia, Persija Jakarta.

sumber:Utusan

“Saya tidak pernah terfikir akan datang ke Azerbaijan ketika mula bermain bola sepak tapi sekarang, sejujurnya saya benar-benar bersemangat untuk beraksi di lebih banyak negara,” kata Honda ketika tiba di Neftci bulan lalu.