Selamat tinggal UiTM FC

Selepas membantu pasukan universiti itu menduduki tangga kelima Liga Premier 2019 dan mara ke Liga Super ekoran penukaran PKNS FC ke Selangor II, nampaknya Ismail Zakaria tidak akan bersama UiTM FC di Liga Super 2020.

Ismail Zakaria dalam satu laporan The Star menyatakan bahawa dia memang teruja untuk membantu pasukan itu mencipta sejarah di Liga Super, tetapi perancangan pihak pengurusan pasukan tersebut membuatkan dia tidak akan meneruskan khidmatnya.

Pihak pengurusan UiTM FC dikhabarkan mahu menggunakan pemain yang terdiri daripada pelajar dan hanya peruntukan kecil disediakan untuk mendapatkan pemain import buat pasukan tersebut.

“Jika kami bermain di Liga Premier, itu mungkin satu perkara yang munasabah. Tetapi, di Liga Super, kita memerlukan belanjawan yang lebih besar.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan, tetapi mereka tetap dengan pendirian mereka. Jika idea itu diteruskan, ianya akan mendatangkan masalah.

“Sudah tiba masanya untuk saya pergi. Saya tidak bersetuju dengan perancangan mereka,” kata Ismail yang juga pernah mengendalikan pasukan Sime Darby dan Kuala Lumpur.

UiTM FC menjadi pasukan universiti pertama yang akan beraksi di Liga Super. Pada musim lalu, mereka menduduki tempat kelima di Liga Premier dengan mengutip 29 mata hasil lapan kemenangan, lima seri dan tujuh kekalahan. UiTM akan bersama juara Liga Premier, Sabah dan PDRM beraksi di Liga Super pada musim hadapan.