‘Sekat Nafsu Besar Pasukan’

Pengurangan kuota pemain import dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dianggap mampu memberi impak positif dari aspek kewangan pasukan dan pembangunan pemain muda.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menjelaskan tindakan mengurangkan kuota import boleh mengurangkan ‘nafsu’ besar pasukan dalam berbelanja yang akhirnya menyebabkan berlaku isu tunggakan gaji.

Bagaimanapun, beliau berkata segala keputusan mengenai berbelanja boros dalam mendapatkan pemain import terletak 100 peratus kepada pengurusan pasukan.

“Bila FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) buka kuota (import) sampai lima orang, jadi semua pasukan nak yang terbaik walaupun mereka tahu terpaksa bergadai untuk mendapatkan pemain berkualiti.

“Tapi kalau benda (persembahan terbaik pemain import) hanya dapat bertahan dua, tiga bulan, sedangkan pelaburan sudah dibuat ke atas mereka, ia akan menimbulkan masalah.

“Ini kerana apabila masuk jendela perpindahan kedua dan jurulatih mahu mengambil pemain import baharu, jadi di sini terjadi penambahan perbelanjaan termasuk terpaksa membayar pampasan kepada pemain import yang dibuang.

“Jadi, kita patut lihat semula atau bahaskan mengenai kebaikan dan keburukan apabila terlalu ramai pemain import dalam pasukan,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sedia mempertimbangkan pengurangan kuota pemain import pada masa akan datang selepas badan induk itu ketika ini membenarkan penggunaan lima pemain import untuk Liga Super dan empat bagi Liga Perdana.

Selain itu, Wan Jamak turut menganggap FAM tidak mengambil langkah ke belakang sekiranya mengurangkan kuota pengambilan pemain import dalam Liga M.

Malah, beliau berkata, kekurangan pemain import juga mampu membuka peluang lebih luas untuk pemain pelapis negara menonjolkan diri, sekali gus membantu perkembangan positif buat Harimau Malaya.

“Tidak dinafikan pasukan buat yang terbaik (mengikat pemain import) untuk memenangi perlawanan, tapi kalau terlalu ramai di beberapa bahagian penting, di mana nak letak pemain tempatan berbakat?

“Kalau kita lihat pemilihan jurulatih dan pengurusan pasukan lebih ke arah pemain import sebab mereka dibayar lebih tinggi berbanding pemain tempatan.

“Saya rasa pengurangan kuota pemain import bukan satu langkah ke belakang tapi kena melihat ke depan pula iaitu kepada pemain yang berbakat seperti di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan sekolah sukan untuk diketengahkan demi masa depan bola sepak negara,” katanya.