Sebuah Misi Realistik Dan Evolusi

MISI RM1 BILLION, SEBUAH MISI REALISTIK DAN EVOLUSI

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa menjadi pencetus dalam setiap evolusi bola sepak Malaysia. Dalam diam, setiap langkah yang dibuat oleh JDT akan menjadi ikutan kebanyakan pasukan dan kelab bola sepak di tanah air.

Terbaharu, Malaysia dikejutkan dengan misi luar biasa dan diluar konteks pemikiran pakar, pemerhati dan pengkritik bola sepak tanah air iaitu projek menambah nilai JDT yang telah didedahkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja. Misi RM1 Billion menjadi impian dan tanda aras baharu yang ditetapkan oleh baginda dan akan direalisasikan dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Apabila kami lakukan sesuatu, kami lakukannya dengan hebat! Malang untuk yang lain, mereka telah mengejutkan harimau yang sedang tidur. Sekarang harimau ini telah bangun, cergas dan lebih bermotivasi”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

IMPIAN YANG REALISTIK

Sebuah impian memerlukan kesungguhan luar biasa untuk direalisasikan. Dengan impian, ia membuatkan organisasi sentiasa progresif untuk mencapai sesuatu tujuan.

Rasionalnya, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah meletakkan impian demi impian dalam memastikan kelab kerdil ini mampu membina sebuah empayar.

Dalam perjalanan JDT dari sejak mula hingga sekarang, impian yang integral telah diabstrak dan diacu sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja. Dari sekecil impian ia bertambah menjadi besar, lalu berjaya menguatkan kelab kerdil ini menjadi sebuah kelab yang unggul dan mampu mendominasi.

Impian juga membawakan motivasi kepada kelab untuk melangkah lebih jauh, teratur dan tidak tersasar. Ianya menc3tus langkah yang telah memanifestasikan harapan juga keyakinan kepada seluruh penyokong dan Bangsa Johor secara khususnya.

Maka, misi RM1 Billion ini adalah sebuah impian realistik malah membuktikan bahawa DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja sentiasa menginginkan JDT berdiri sebagai pencetus inovasi dan pelakar sejarah, dan kerana itu walau apa yang terjadi, tanda aras yang telah diletakkan ini akan sedaya upaya direalisasikan tanpa keraguan.

“Sasaran kami adalah diberi pengiktirafan dengan kelab ini bernilai RM1 billion dan kalau boleh lebih. Itu perancangan besar saya untuk pastikan JDT sentiasa berada dalam kelas tersendiri.”-DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

BERJAYA MENARIK MINAT PELABUR DAN PENAJA

JDT merupakan sebuah kelab yang mempunyai misi, visi dan aspirasi yang telah diatur dengan rapi sejak kewujudan. Merupakan kelab yang mempunyai aspirasi besar dalam perjalanan membina empayar.

Kerana itu, harus diakui, JDT sentiasa menjadi modul terbaik dalam menarik minat penaja. Banyak pasukan mula mahu mengikut strategi dan dasar yang telah dirangka dan dilaksanakan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja.

Ini berikutan kejayaan baginda yang berjaya memastikan JDT mendapat kepercayaan penajaan dalam jangka masa panjang daripada syarikat-syarikat mega multi nasional dalam dan luar negara . Dengan kejayaan menarik minat syarikat-syarikat gergasi ini, nilai komersial jenama JDT berjaya dipertingkatkan.

Dengan misi RM1 Billion dan hala tuju yang jelas serta perancangan jangka masa panjang yang diatur secara sistematik. JDT juga telah berjaya menarik minat pelabur untuk bersama-sama melabur dalam kelab kebanggaan kita ini.

Sumber : Media JST

“Kami juga sedang dalam perbincangan bersama pemegang saham baharu antaranya beberapa bekas pemain antarabangsa bertaraf dunia telah menyatakan minat untuk membeli saham kelab JDT dan ketika ini saya memegang majoriti saham iaitu 70 peratus hingga 80 peratus dan akan memberi 20 peratus hingga 30 peratus saham kepada sahabat dan rakan penaja.”-DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Akhir kata, JDT akan sentiasa menjadi nombor satu dalam evolusi landskap bola sepak tanah air. Luaskan Kuasamu Johor.