Seakan-Akan Skrip Yang Sama Bakal Diulang ?

Mungkin ada yang menjangkakan pemain berusia 25 tahun ini akan direhatkan dan hanya akan banyak digunakan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 sebagaimana yang dilalui Nazmi Faiz Mansor pada saingan musim lalu.

Dengan ramai pemain yang mampu mengisi posisi tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) ditambah pula dengan kemasukkan Liridon Krasniqi, tampak seakan-akan skrip yang sama bakal diulang oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan kali ini.

Dengan melalui minggu yang sibuk, JDT menerusi pengendali pasukan, Benjamin Mora, telah memberikan bayangan yang beliau akan membuat penggiliran pemain untuk berdepan UiTM FC – perlawanan ketiga dalam tempoh seminggu.

Hanya sedikit rombakan dibuat dengan beberapa pemain yang tidak beraksi ketika menewaskan Suwon Bluewings di ACL 2020 kembali dalam senarai kesebelasan utama dan mengejutkan, Nazmi Faiz serta Natxo Insa masih dikekalkan.

Dan Nazmi Faiz berjaya membalas kepercayaan jurulatih dengan meledak jaringan kemenangan JDT pada minit ke-70 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran rendah pemain tengah, Leandro Velazquez.

Ini meneruskan prestasi cemerlangnya ketika membantu Harimau Selatan menundukkan Suwon Bluewings menerusi ‘dua’ bantuan gol kemenangan – salah satunya menghadiahkan JDT sepakan penalti yang disempurnakan Diogo.

“Alhamdulillah saya berjaya membantu pasukan dalam perlawanan ini. Saya sendiri tidak boleh terlalu berpuas hati kerana banyak lagi kelemahan yang saya ada,” memetik kenyataannya di laman Facebook, Johor Southern Tigers.

“Seperti yang kita lihat semasa lima belas minit pertama, kami bermain dengan baik. Namun, selepas kami berjaya menjaringkan gol, permainan kami semakin perlahan dan kerap kehilangan bola,” tambahnya lagi dalam kenyataan tersebut.

Walaupun meraih tiga mata kedua di saingan CIMB Liga Super 2020, menurutnya, beliau dan rakan-rakan masih belum berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan.

“Apa yang boleh saya katakan adalah kami akan memperbaiki segala kelemahan yang berlaku pada perlawanan ini. Walaupun kami berjaya mengutip tiga mata namun kami tidak berpuas hati,” jelas pemain tengah berbakat besar negara itu.

JDT merekodkan kemenangan tipis 2-1 ke atas pendatang baharu Liga Super, UiTM FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.