“Sayanglah kalau tak main”

Tak nak main tempat lain.

Dengan timbulnya isu mengenai Stadium Shah Alam, ketua jurulatih pasukan Selangor, B. Sathianathan masih berharap agar pasukannya akan kekal di situ dan tidak perlu beraksi di tempat lain.

Sebelum ini ada timbul isu mengenai keadaan Stadium Shah Alam ekoran kerosakan bumbung stadium berkenaan yang mampu membahayakan keselamatan penyokong yang hadir. Disebabkan itu, ada ura-ura mengatakan Selangor akan bermain di stadium lain bagi memberikan masa untuk memperbaiki stadium.

“Sayanglah kalau kita tidak dapat main di Stadium Shah Alam kerana ini memang tempat kita. Kalau kita terpaksa main di tempat lain, sudah tentu ia akan menyukarkan banyak pihak.

“Apa yang paling saya kasihankan sudah tentulah kepada penyokong. Katakanlah kita main di Stadium Selayang, kita terpaksa main petang dan kapasiti juga tidak cukup besar untuk menampung perlawanan besar.

“Kalau kita terpaksa juga main pada sebelah petang, pasukan yang bertanding juga akan berdepan masalah untuk memberikan intensiti dan persembahan terbaik. Tetapi saya percaya masalah itu dapat diselesaikan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Selangor sebelum ini pernah beraksi di stadium lain untuk saingan Liga Super. Antara stadium yang pernah menjadi ‘rumah’ sementara mereka adalah Stadium Selayang dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA). Jika mereka memilih untuk menggunakan Stadium Selayang, mereka akan berkongsi dengan pasukan ‘adik’ mereka, Selangor II yang akan beraksi di stadium berkenaan untuk saingan Liga Premier.