Saya Sayangkan Kerjaya Yang Dibina Sejak Sekian Lama

KUANTAN: Tiada istilah berehat panjang dan bersenang lenang buat pemain Kedah, Mohd Azamuddin Md Akil sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Sebagai pemain profesional, tanggungjawab memberi persembahan terbaik kepada pasukan perlu dilakukan sepanjang masa dengan sentiasa cergas.

Mohd Azamuddin berkata, walaupun tidak dibenarkan keluar rumah, namun latihan tetap perlu dilakukan secara berterusan mengikut kemampuan.

Katanya, kecergasan diberi keutamaan bagi memastikan persembahan terbaik dapat dipamerkan mengikut rancangan di atas padang sama seperti dikehendaki jurulatih serta rakan sepasukan.

“Saya meluangkan masa sejam sehari pada sebelah pagi untuk melakukan pelbagai teknik latihan kecergasan di rumah, walaupun kurang selesa namun ia tetap perlu dilakukan dengan penuh disiplin dan bersungguh-sungguh.

“Saya sayangkan kerjaya yang dibina sejak sekian lama, sekiranya prestasi tidak dapat dikekalkan hanya kerana kecuaian sendiri, akibatnya masa depan akan musnah,” katanya ketika dihubungi.

Dia yang lebih dikenali sebagai Alex berkata, jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak sebelum ini banyak kali mengingatkan pemain skuad Lang Merah supaya berusaha mengekalkan kecergasan selain berat badan terutama apabila agak lama tidak mengikuti latihan di padang.

“Selepas berehat beberapa hari kerana kecederaan pecah kuku kaki ketika perlawanan Kedah dengan JDT sebelum ini, kini disambung pula dengan PKP, ujian berkenaan perlu saya hadapi dengan penuh sabar serta bijak.

“Saya juga merayu kepada rakyat negara ini supaya dapat mematuhi arahan kerajaan supaya tidak keluar rumah dalam usaha memutuskan rangkaian COVID-19 yang begitu merbahaya serta boleh mengundang kematian,” katanya.