Saya Langsung Tidak Gembira

Pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) Adam Nor Azlin mengakui tidak gembira dengan prestasi yang telah ditunjukkannya pada 2019, terutama ketika separuh kedua musim Liga Malaysia.

Walaupun berjaya membantu pasukan Harimau Selatan menjulang kejuaraan berganda Liga Super dan Piala Malaysia, secara peribadi Adam merasakan prestasinya menjunam terutama pada enam bulan terakhir yang mana dia menutup 2019 dengan kegagalan di Sukan Sea Filipina bersama skuad B-23 kebangsaan.

“Ketika awal musim saya rasa semuanya berjalan lancar dan berada di landasan yang baik, tetapi pada enam bulan terakhir berlaku kemerosotan yang ketara, ia mengec3wakan, saya langsung tidak gembira.

“Saya tekad mahu bangkit menjadi jauh lebih baik pada 2020. Saya mencabar diri untuk bekerja keras dan meletakkan usaha yang lebih berbanding sebelum ini agar dapat tampil dengan lebih konsisten,” ujar Adam kepada TheStar.

Adam ketika ini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu bersama rakan sepasukan mengikuti Jelajah Pra-Musim JDT di sana.

Menyentuh mengenai perkembangan pasukan di Dubai, Adam berkata, “Ia persiapan yang sangat mengujakan, Dubai adalah antara bandaraya paling maju di dunia dan kami turun menentang pasukan-pasukan yang berkualiti menjelang pembuka tirai musim baru.”

sumber: foxsports

JDT setakat ini telah bermain dua perlawanan di Dubai, tewas 0-2 kepada FC Riga (Juara Liga Latvia) dan menang 1-0 ke atas Dibba Al Fujairah (Kelab Liga Divisyen 1 UAE).

Mereka akan bermain tiga perlawanan lagi iaitu menentang Turkmenistan (26 Januari), MSK Zilina (Liga Slovakia) pada 29 Januari dan sebuah lagi kelab Liga Divisyen 1 UAE, Emirates FC (30 Januari) sebelum pulang ke tanah air.