Satu Penghormatan Besar Untuk Wakili Malaysia

Pemain kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong menganggap satu penghormatan besar sekiranya beliau dipanggil bagi beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Dalam satu wawancara bersama Astro Arena baru-baru ini, Kobe mengulas mengenai kemungkinan beliau pulang dan beraksi bersama Malaysia sekiranya mendapat surat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Satu penghormatan yang besar (jika dipanggil) kerana saya mewakili negara asal saya. Selain itu, beraksi bersama pasukan negara akan memberikan satu rasa bangga kepada saya.

“Kerja keras selama ini berbaloi sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan terutamanya Malaysia. Saya merasa bangga sekiranya dipanggil,” kata Kobe.

Sebelum ini, Kobe memberi bayangan bahawa beliau akan memilih Malaysia sebagai pasukan yang diwakilinya di pentas antarabangsa menerusi laman Instagram Story milik beliau.

Pemain berusia 18 tahun ini mempunyai pengalaman beraksi bersama pasukan remaja beberapa kelab ternama di Eropah seperti Cagliari dan Wolverhampton Wanderers.