Sathianathan anggap tak masuk akal

PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menganggap tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan tanda harga kepada pasukan atau kelab yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebagai tidak masuk akal.

Beliau yang juga Ketua Jurulatih Selangor turut melahirkan kebimbangan bakat-bakat muda AMD bakal berdepan masalah untuk mendapatkan tempat dengan mana-mana pasukan atau kelab atas faktor ‘harga’ yang diletakkan ke atas mereka.

“Saya tidak faham dengan apa yang berlaku dalam MSN sekarang sedangkan AMD itu tempat yang disediakan oleh kerajaan buat remaja yang mempunyai potensi menjadi pemain bola sepak Malaysia dan membolehkan seseorang itu memberikan sumbangan buat negara suatu hari nanti.“MSN bukan sebuah persatuan bola sepak (FA) negeri yang terikat di bawah peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Jika mahu buat keuntungan, jadikan MSN badan swasta dan diseragamkan mengikut peraturan FIFA.

“Kalau ada mana-mana pasukan atau kelab terpaksa mengeluarkan puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan khidmat pemain AMD, lebih baik mereka tubuhkan akademi sendiri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan bahawa pihaknya akan meletakkan tanda harga kepada pasukan atau kelab yang berminat mendapatkan ‘graduan’ AMD mulai tahun depan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, tanda harga itu bukan harga jualan pemain, sebaliknya ia berupa insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan yang mendidik dan membangunkan bakat muda negara.

Pada masa sama, Ahmad Shapawi menjelaskan, harga yang ditetapkan itu nanti bergantung kepada FIFA, namun ia tidak akan membebankan pasukan atau kelab terlibat.

Jika perkara itu dilaksanakan, mana-mana pasukan atau kelab tidak lagi boleh mengadakan rundingan terus dengan para pelatih AMD atau keluarga mereka, sebaliknya perlu terlebih dulu melalui pihak pengurusan akademi berkenaan.Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, MSN sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab membangunkan arena sukan tanah air seharusnya mencari mekanisme lebih baik bagi ‘memasarkan’ produk kelahiran AMD.

“MSN perlu sedar mereka bukan pihak swasta yang membuat keuntungan, sebaliknya entiti kerajaan bagi membangunkan sukan di negara ini. Dana yang disalurkan kepada AMD juga datangnya daripada peruntukan kerajaan bagi melahirkan dan membantu sukan bola sepak Malaysia.

“Kalau begitu syarikat-syarikat di Malaysia ini perlu membayar kepada sekolah atau universiti yang telah melahirkan graduan yang kini telah bekerja dengan mereka. Fungsi sekolah itu adalah memberikan pendidikan kepada rakyat di negara ini, begitu juga dengan fungsi MSN dalam bidang sukan.

“Sepatutnya AMD perlu dilihat kepada asas penubuhannya. Mereka perlu ingat dana daripada kerajaan menerusi Belanjawan di Parlimen datangnya juga daripada hasil pembayar cukai di negara ini. Kalau begitu saya juga sepatutnya mendapat insentif daripada apa yang telah saya bayar selama ini,” tegasnya.