Sarkunan pilih Negeri Sembilan FC

Bekas pemain tengah Selangor FC, K Sarkunan memilih Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai pasukan baharunya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain berasal dari Kajang berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak semusim bersama skuad Hobin Jang Hobin, yang akan beraksi dalam Liga Super.

Dia akui teruja apabila pengurusan NSFC menerimanya sebagai orang baharu dalam pasukan itu dan berharap dapat memberikan sumbangan terbaik bagi menjulang nama Negeri Sembilan sepanjang musim depan.

“Rasa teruja apabila pihak pengurusan NSFC sedia menerima saya dalam pasukan ini dan saya berharap dapat menimba pengalaman berharga bersama pasukan ini terutama dari aspek meningkatkan lagi tahap prestasi.

“Selain membantu menjulang nama Negeri Sembilan, saya juga berharap mendapat tempoh dan minit permainan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya yang mula menjalani latihan di Seremban, sejak Isnin lalu.

Menurut Sarkunan, dia yakin tidak menghadapi masalah untuk mengikuti corak latihan dan taktikal di bawah ketua jurulatih NSFC, K Devan, malah lebih yakin dengan kemampuan Devan dalam membantunya mencapai tahap prestasi lebih baik.

“Walaupun ini pertama kali saya berhijrah ke pasukan baharu selepas sembilan tahun bersama Selangor, namun ia tidak menjadi halangan atau gangguan untuk memberikan fokus kepada Negeri Sembilan.

“Sebagai pemain bola sepak profesional, fokus perlu diberikan kepada pasukan yang kita wakili kerana kejayaan sesebuah pasukan itu akan bergantung kepada sumbangan yang kita berikan.

“Saya akan menggunakan pengalaman yang panjang bersama Selangor untuk membina kekuatan baharu bersama Negeri Sembilan dan seterusnya membantu pasukan ini meraih kejayaan,” katanya.

Katanya, walaupun saingan Liga Super menjanjikan saingan lebih sengit, namun yakin Negeri Sembilan bukan asing malah memiliki pengalaman luas dalam liga tempatan utama itu.

“Sasaran saya untuk membantu Negeri Sembilan merangkul sekurang-kurangnya satu daripada empat trofi yang dipertandingkan pada musim depan,” katanya yang pernah membantu Selangor muncul naib juara Piala FA pada 2018.

sumber : arena metro

Setakat ini dua bekas pemain Selangor bersama NSFC termasuk Sean Eugene Selvaraj yang kembali ke negeri asalnya.