Sarawak United tidak boleh lagi dilabel sebagai pasukan bermasalah

Sarawak United tidak boleh lagi dilabel sebagai pasukan bermasalah apabila pengurusannya sudah menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain mencecah RM2 juta.

Perkara itu disahkan Datuk Posa Majais yang menjelaskan semua tunggakan pemain membabitkan tiga bulan gaji sudah diselesaikan minggu ini.

Beliau berkata, Sarawak United mahu memberi tumpuan kepada menyusun pasukan dengan menawarkan kontrak kepada pemain tertentu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

“Saya ingin jelaskan kepada semua bahawa jangan lagi terus membuat tuduhan bahawa Sarawak United mempunyai tunggakan gaji.

“Kami akui memang ada kelewatan kerana atas beberapa faktor tertentu namun bukanlah sampai tidak mahu langsung bayar gaji pemain.

“Sekarang ini, kami mengambil pendekatan lebih baik menggugurkan pemain hebat atau ternama daripada mereka terus memburukkan pasukan. Majoriti pemain mahu bersama pasukan dan hanya lima saja mahu tinggalkan Sarawak United,” katanya.

Terdahulu, Sarawak United dipalit dengan isu tunggakan gaji hingga menimbulkan persoalan kemungkinan tidak boleh beraksi di Liga Super jika gagal melangsaikannya.

Lantas dengan perkembangan positif itu, kedudukan Sarawak United dalam Liga Super masih terjamin dan tidak akan disingkirkan.

Sementara itu, Posa berkata, beliau sudah mengenalpasti pihak tertentu yang cuba kucar-kacirkan pasukan hingga menyebabkan isu tunggakan gaji diperbesarkan.

“Kami tidak akan melepaskan tanggungjawab untuk membayar gaji pemain cuma ada kelewatan dan sedikit masalah hingga menyebabkan pembayaran itu tertangguh.

sumber : arena metro

“Pada masa sama, kami berharap tiada lagi pihak menangguk di air keruh dengan terus membuat kacau dalam pasukan kerana kemungkinan Sarawak United tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.